Huawei tidak lama lagi bakal menyertai perlumbaan teknologi 5G dikalangan pengeluar-pengeluar telefon pintar dengan mensasarkan pemasangannya pada telefon pintar mercunya dan juga pada sub-jenama dibawahnya, Honor.
Syarikat pengeluar telefon pintar dari China berkenaan telah mendedahkan akan melancarkannya sekitar pertengahan tahun 2019. Langkah ini sejajar dengan perluasan penggunaan teknologi rangkaian mudah alih generasi berikutnya ini dalam tahun ini.
Pengerusi Honor, George Zhao mengesahkan tentang perkara ini di dalam satu wawancara. Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan berkenaan model telefon pintar mana yang pertama bakal dilengkapi dengan teknologi rangkaian terbaru tersebut.
Ini bukanlah kali pertama Encik George Zhao menyatakan tentang penggunaan teknologi 5G pada telefon pintar keluaran Honor. Beliau pernah bercakap mengenainya pada September tahun lalu. Walaubagaimanapun, pengeluar-pengeluar lain turut sama menyatakan hasrat dan rancangan yang sama berkenaan penggunaan teknologi 5G pada telefon pintar masing-masing.
Sesuatu menarik untuk dinantikan pasaran mana yang bakal menerima telefon pintar Honor pertama yang dilengkapi dengan teknologi 5G memandangkan Huawei tidak begitu diraikan di pasaran Amerika Syarikat.
Sumber berita diperoleh dari Android Authority













