Industri telefon pintar global bakal berdepan situasi kritikal bermula suku pertama 2026, di mana peranti baharu dijangka dijual pada harga lebih tinggi dengan spesifikasi memori (RAM) yang lebih rendah berbanding model 2025.
Fenomena yang digelar “inflasi RAM” ini berpunca daripada lonjakan kos komponen akibat permintaan mendadak terhadap infrastruktur Kecerdasan Buatan (AI) di peringkat perusahaan.
Laporan terkini menjangkakan bahawa era telefon pintar dengan kapasiti RAM besar mungkin akan tamat untuk sementara waktu.
Situasi pasaran teknologi semasa menunjukkan trend yang membimbangkan bagi pengguna. Model telefon pintar dengan RAM 16GB dijangka hampir “lenyap” dari pasaran pada tahun 2026. Itupun hanya untuk sebilangan kecil model-model terpilih yang mungkin harganya amat premium.
4GB ram phones are back
Due to memory limitations, lower end devices will return to 4GB ram for 2026
Ultra flagships will decrease from 16GB to 12GB with just a few exceptions, while midrange devices are expected to move back to 6GB/8GB models pic.twitter.com/HOWwEL6PeK
— Anthony (@TheGalox_) December 12, 2025
Lebih membimbangkan, jumlah model dengan RAM 12GB dilaporkan akan berkurang sebanyak 40 peratus. Hal ini seterusnya memaksa pengeluar kembali menawarkan varian 6GB dan 8GB sebagai standard asas. Malah terdapat kemungkinan kembalinya varian 4GB untuk peranti kelas permulaan.
Punca utama krisis ini adalah peralihan fokus pengeluar memori utama dunia. Ledakan teknologi AI telah meningkatkan permintaan terhadap pelayan data yang memerlukan High-Bandwidth Memory (HBM) dan SSD berkapasiti tinggi.
Demi memenuhi permintaan sektor perusahaan yang sanggup membayar harga premium, pengeluar telah mengalih kapasiti pengeluaran mereka daripada DRAM pengguna (RAM telefon biasa) kepada HBM. Ini menyebabkan bekalan DRAM untuk telefon pintar menjadi terhad dan harganya melambung tinggi.
Menurut firma analisis pasaran TrendForce, kos memori semakin mengambil bahagian yang lebih besar dalam Kos Bahan (BOM) bagi peranti pengguna seperti telefon pintar dan PC.
Tekanan untuk menaikkan harga barangan pengguna
Lonjakan harga ini memberi tekanan kewangan yang ketara kepada pengeluar peranti global. Seterusnya terpaksa menaikkan harga runcit serta menurunkan spesifikasi produk.
Berikut adalah jangkaan impak utama kepada pasaran telefon pintar 2026:
- Kepupusan Varian 16GB: Model mercu (flagship) mungkin tidak lagi menawarkan RAM 16GB secara meluas.
- Penurunan Standard: Varian 8GB yang kini menjadi standard kelas pertengahan dijangka berkurang sebanyak 50%, digantikan semula oleh varian 6GB.
- Kenaikan Harga: Pengguna perlu membayar harga yang lebih mahal untuk peranti dengan prestasi yang mungkin lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.
Tahun 2026 diramalkan menjadi tahun getir bagi pembeli peranti elektronik. Gabungan harga komponen yang tinggi dan pengurangan spesifikasi teknikal bermakna nilai wang (value for money) bagi telefon pintar baharu akan merosot.
Pengguna yang merancang untuk menaik taraf peranti dinasihatkan untuk mempertimbangkan pembelian model 2025 yang mungkin menawarkan spesifikasi lebih baik pada harga yang lebih kompetitif sebelum krisis bekalan memori ini memuncak sepenuhnya.













