Agak jarak untuk iOS mengalami masalah pepijat dan tergendala, namun, itu tidak bermakna iOS kebal dari masalah tersebut. Terbaru, iOS dilaporkan mempunyai masalah pepijat yang menyebabkan ianya tergendala.

Menurut laporan dari 9to5Mac, masalah pepijat tersebut adalah disebabkan oleh untaian tertentu di dalam bahasa Sindhi. Apabila sesebuah peranti iOS berkenaan menerima notifikasi teks-teks tertentu, ianya akan menyebabkan gangguan.

Tulisan Sindhi adalah gabungan tulisan Parsi dan Arab dan digunakan secara rasmi di wilayah Sindh, Pakistan. Ianya juga digunakan di sesetengah negeri di dalam India terutamanya oleh masyarakat Sindhi.

Ada sesetengah peranti yang terkesan dari pepijat tersebut terus tergendala atau tidak memberi respon terhadap input sentuhan lain. Sungguhpun masalah ini berpunca dari iOS, ianya turut melibatkan peranti lain termasuk iPhone, Apple Watches, iPad dan juga Mac.

Apa sahaja notifikasi berdasarkan untaian tersebut boleh memicu pepijat iOS berkenaan. 9to5 melaporkan ianya berpunca dari group Telegram dan kemudiannya telah tersebar ke Twitter dan platform media sosial yang lain.

Pada asalnya, emoji bendera Itali disangkan sebagai punca kepada masalah pepijat ini.

Setakat ini, Apple masih lagi belum mengeluarkan apa-apa pembaikan untuk masalah pepijat ini. Selain itu, pepijat ini tidak memberikan apa-apa kesan terhadap peranti iOS 13.4.5 yang kini masih dalam peringkat versi beta.

Ini bukanlah kali pertama sebahagian teks boleh menyebabkan peranti iOS tergendala. Pada tahun 2018 dahulu, beberapa perkataan Telugu tertentu turut menjadi punca masalah pepijat iOS.

Tinggalkan komentar