Kementerian Kewangan (MOF) mengingatkan bahawa tindakan menuntut kuota subsidi petrol BUDI Madani RON95 (BUDI95) menggunakan MyKad milik orang lain merupakan kesalahan jenayah.
MOF turut menasihatkan individu yang menghadapi masalah dengan MyKad mereka atau kehilangannya supaya segera membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kes Penangkapan Di Gemencheh
Amaran ini dikeluarkan susulan penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun di Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.
Bahagian Penguatkuasaan (BSK) JPN Putrajaya melakukan tangkapan tersebut selepas menerima aduan daripada pemilik sebenar MyKad yang mendapati subsidi BUDI95 miliknya telah ditebus tanpa pengetahuannya.
Siasatan awal mendapati suspek telah menggunakan MyKad yang dijumpainya untuk menuntut subsidi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Gemencheh.
Lelaki tersebut kemudian didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah. Menurut Kosmo, hukuman dijatuhkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali terhadap tertuduh, Abdullah Ayub, 42, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.
Peruntukan Undang-Undang
Menurut Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias, kes ini disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki serta menggunakan kad pengenalan bukan miliknya.
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan akan dijalankan sebaik sahaja siasatan selesai.
Cara Semak Penggunaan Subsidi BUDI95
Rakyat Malaysia boleh menyemak jumlah subsidi petrol bersubsidi yang telah digunakan melalui aplikasi jenama petrol seperti Setel, serta dompet digital TNG eWallet.
Program BUDI95 menyediakan kuota bulanan sebanyak 300 liter petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter kepada setiap warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu aktif. Kuota yang tidak digunakan tidak akan dibawa ke bulan berikutnya.
MOF menegaskan bahawa Kerajaan MADANI melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh pemantauan di stesen minyak serta dalam kalangan pengguna.
Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyelewengan atau penjualan semula petrol bersubsidi kepada pihak yang tidak berkelayakan, dan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap pihak terlibat.
​













