Para pengguna rokok elektronik atau vapor kini perlu menanggalkan bateri peranti sebelum berlepas sebagai langkah berjaga-jaga menurut arahan yang dikeluarkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Di dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan di dalam laman Facebook MAHB, peraturan International Civil Aviation Organization (ICAO) yang terkini tidak membenarkan rokok elektronik untuk didaftar masuk sebagai bagasi tetapi boleh dibawa bersama penumpang yang menaiki pesawat.

“MAHB telah melaksanakan langkah berjaga-jaga tambahan, berkuat kuasa serta-merta yang mana penumpang akan diminta untuk menanggalkan bateri daripada peralatan,”

MAHB turut menyatakan akan merujuk perkara ini dengan Jabatan Penerbangan Awam untuk mendapatkan saranan yang lebih terperinci.

Pada masa yang sama, Bernama melaporkan Jabatan Penerbangan Awam mengambil berat terhadap insiden bateri vapor terbakar di dalam pesawat Malindo Air penerbangan OD1003.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman di dalam satu kenyataannya memberitahu pihaknya akan melakukan siasatan dalam berhubung insiden tersebut. Beliau turut menggariskan Technical Instructions for the Safe Transport of Dangerous Goods by Air (ICAO Doc 9284) yang dikeluarkan oleh International Civil Aviation Organisation (ICAO) seperti berikut;

  • Passengers and cabin crew are prohibited from carrying battery-powered portable electronic smoking devices including electronic cigarettes in checked baggage.
  • Prohibits recharging of battery-powered portable electronic smoking devices in aircraft cabins.
  • Batteries shall be removed from electronic smoking devices and be put in proper storage.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 1845 Sabtu lalu, sebuah bateri rokok elektronik atau vapor di dalam beg yang diletakkan di atas riba penumpang secara tiba-tiba terbakar sebaik sahaja pesawat berkenaan berlepas dari Kota Kinabalu menuju ke Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA2). Penumpang berkenaan dilaporkan melecur pada peha dan tangan kirinya.

-Sumber berita diperoleh dari Utusan Malaysia

Tinggalkan komentar