Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pelan pelaksanaan yang diperincikan untuk penyasaran subsidi petrol RON95 akan diumumkan menjelang akhir September 2025. Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lepas telah mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan dari RM2.05 kepada RM1.99 seliter.
Di dalam jawapan bertulis di parlimen, MOF menyatakan pembentukan dan pengujian mekanisme subisidi bersasar ini masih lagi dijalankan. Ia bertujuan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar dan berkesan.
Antara usaha yang dilakukan termasuklah memperkemas dan menyegerakkan data dari agensi-agensi utama kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pihak kementerian turut menegaskan kerajaan sedang menggiatkan usaha ke arah pendekatan yang lebih komprehensif bagi memastikan subsidi bahan api ini hanya diterima oleh kumpulan sasar. Jawapan balas ini dikeluarkan bagi menjawab soalan dari Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan. Beliau bertanyakan mengenai keadaan semasa fasa pelaksanaan yang sebelum ini digariskan oleh Kementerian Ekonomi.
Menurut MOF, rakyat Malaysia yang layak boleh mendapatkan petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter dengan mengesahkan identiti melalui MyKad di bawah mekanisme baharu ini. Dalam pada masa yang sama, pengguna yang bukan warganegara dan tidak layak akan dikenakan pada harga pasaran semasa tanpa subsidi.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semalam menyatakan Pangkalan Data Utama (PADU) akan menjadi rujukan utama bagi mengesahkan kelayakan di bawah skim ini. Penggunaan sistem data berpusat dijangka dapat meningkatkan ketepatan dan keadilan dalam pengagihan subsidi.