Statistik agihan penggunaan sistem operasi Android secara rasminya telah didedahkan bagi bulan Januari 2017 dan melaluinya dapat kita lihat jumlah penggunaan Android 2.2 Froyo tidak tersenarai pun didalamnya. Hal ini bukanlah disebabkan langsung tidak wujud penggunaan Froyo, cuma jumlahnya terlalu kecil untuk dipaparkan di dalam statistik rasmi.
Enam tahun sudah berlalu semenjak Android 2.2 diperkenalkan buat julung kalinya di Google I/O pada tahun 2010. Antara perubahan yang dibawanya adalah menggunakan JIT compiler, API permesejan dari awanan ke peranti, API backup aplikasi, pemasangan apps ke kad SD, fungsi hotspot mudah alih, enjin javascript V8, kemaskini automatik dan kemaskini semua sekali aplikasi di Android Market (kini dikenali Play Store) serta lain-lain pengubahsuaian kecil pada UI.
Hari ini, peranti yang menggunakan Froyo adalah terlalu sedikit hinggakan kadangkala ramai yang terlepas pandang akan kehadiran versi sistem operasi berkenaan.
Untuk versi-versi lain di dalam statistik berkenaan, Nougat mencatatkan pertumbuhan kecil dari 0.4 peratus kepada 0.7 peratus. Sedang Marshmallow yang kini berusia lebih dari satu tahun telah mencatatkan peningkatan dari 26.3 peratus ke 29.6 peratus. Gingerbread pula, kini mencatatkan penggunaan sekitar 1 peratus sahaja dan kemungkinan tidak akan tersenarai di dalam statistik penggunaan dalam bulan-bulan yang akan datang.
-Sumber berita diperoleh dari Ubergizmo













