Hampir dua tahun sudah berlalu semenjak Spotify pertama kali mengumumkan pelan HiFi yang menampilkan kualiti audio lossless. Awal tahun ini, Spotify menyatakan pihaknya masih lagi belum dapat menjangkakan bilakah ia akan hadir.

Menurut laporan terkini dari 9to5Mac, terdapat seorang pembacanya telah menerima satu tinjauan yang dihantar oleh perkhidmatan penstriman muzik tersebut selepas menamatkan langganannya yang dibuat selama 10 tahun.

Tinjauan tersebut memperincikan pelan baharu akan datang yang dikenali sebagai Spotify Platinum HiFi. Bersama-sama dengannya, terdapat satu senarai yang menunjukkan ciri-ciri yang turut hadir bersama-sama pelan berkenaan. Turut ditanya di dalam tinjauan tersebut sama ada pelanggan berkenaan sudi melanggan semula untuk salah satu ciri yang disenaraikan.spotify-hifi

Senarai tersebut menyatakan ciri-ciri yang akan diperkenalkan menerusi pelan baharu tersebut adalah seperti berikut:

  • Audio HiFi
  • Studio Sound
  • Headphone Tuner
  • Audio Insights
  • Library Pro
  • Playlist Pro
  • Podsiar dengan iklan terhad
Spotify-HiFi-Platinum-plan-tinjauan
Imej dari 9to5Mac

Berdasarkan apa yang dinyatakan di dalam tinjauan tersebut, berkemungkinan pelan ini akan diperkenalkan dalam masa yang terdekat ini. Harga langganannya pula dikatakan US$19.99 (~RM94.28), lebih kurang dua kali ganda dari pelan asas US$9.99 (~RM47.20).

Sebagai perbandingan, harga langganan Pelan Premium Individu Spotify di Malaysia adalah dari RM14.90 sebulan.

Tinggalkan komentar