Acara Samsung Unpacked 2019 dijadualkan berlangsung pada minggu depan dan maklumat mengenai spesifikasinya telah pun tertiris di internet, lapor portal GSM Arena. Perincian spesifikasi berkenaan turut merangkumi Galaxy S10e, Galaxy S10, dan Galaxy S10 Plus.
Bagaimanapun, maklumat yang tertiris ini tidak melabelkan perincian peranti-peranti yang disenaraikan sebagai “Galaxy S10”. Sebaliknya hanya melabelkannya sebagai “Beyond0”, “Beyond1”, dan “Beyond2”. Namun, secara dasarnya kita mampu mengagak dengan jelas peranti apa yang dimaksudkan dari label berkenaan.
Berdasarkan senarai spesifikasi tersebut, Galaxy S10e (Beyond0) menampilkan paparan 5.8-inci QHD+ (2280 x 1080) AMOLED HDR+ Dinamik, diperkuatkan dengan Gorilla Glass 5. Bagi Galaxy S10 (Beyond1) dan S10 Plus (Beyond2) pula, kedua-duanya menawarkan paparan masing-masing, 6.1-inci dan 6.3-inch QHD+ (3040 x 1080) AMOLED HDR+ Dinamik yang diperkuatkan dengan Gorilla Glass 6. Persamaan di antara ketiga-tiga model berkenaan adalah ketiga-tiganya menggunakan paparan Infinity “O”.
Selanjutnya, pengimbas cap jari bagi Galaxy S10e ditempatkan pada bahagian sisi telefon pintar berkenaan. Manakala untuk Galaxy S10 dan S10 Plus , fungsi tersebut ditempatkan ke dalam paparannya.
Untuk kameranya pula, Galaxy S10e hanya menampilkan tetapan dwi-kamera sahaja untuk kamera utamanya iaitu 2MP f/1.5 + 16MP f/2.2 bersudut luas. Untuk Galaxy S10 dan S10 Plus pula kedua-duanya menawarkan tetapan tri-kamera 12MP f/2.4 Telephoto + 12MP f/1.5 dwi-aperture lebar+ 16MP f/2.2 bersudut luas.
Bagi kamera hadapannya pula, untuk Galaxy S10e dan S10, kedua-dua telefon pintar menampilkan 10MP f/1.9 “Duel Pixel AF UHD”. Manakala untuk Galaxy S10 Plus pula ianya menampilkan 10MP f/1.9 “Duel Pixel AF UHD” dan sebuah lensa 8MP f/2.2 live focus.
Tidak ketinggalan, variasi spesifkasi untuk RAM dan storan dalaman bagi ketiga-tiga model Galaxy S10 berkenaan. Untuk Galaxy S10e dan Galaxy S10, pilihan konfigurasi RAM dan storan dalaman boleh didapati antara RAM 6GB dan 8GB, dan storan dalaman antara 128GB dan 256GB. Manakala Galaxy S10 Plus pula, pilihan tertinggi yang boleh didapati adalah konfigurasi RAM 12GB dan storan dalaman 1TB.
Setakat ini pihak Samsung masih belum mengesahkan kesahihan maklumat spesifikasi yang tertiris ini.
Sumber berita diperoleh dari GSM Arena













