Samsung Galaxy Z Fold 4 bersama-sama Galaxy Z Flip 4 sebelum ini sering diperkatakan akan dilancarkan dalam tempoh sekitar suku ketiga tahun ini. Tempoh berkenaan juga dilihat hampir sama dengan acara Unpacked kedua yang biasanya diadakan sekitar waktu tersebut. Lantaran itu juga, pelbagai desas-desus mengenai spesifikasi telefon pintar berkenaan semakin rancak dibincangkan di internet.
Menurut pengguna Twitter Yogesh Bhar (@heyitsyogesh), Z Fold 4 dijangka akan membawakan penambahbaikan dari segi perkakasannya. Antaranya penggunaan cipset Qualcomm terbaru Snapdragon 8+ Gen1 SoC, RAM di antara 12GB dan 16GB serta storan dalaman antara 256GB dan 512GB.
Selain itu, Z Fold 4 turut dikatakan akan menampilkan paparan dalamannya 7.6-inci Super AMOLED QXGA+ dengan kadar 120Hz. Manakala paparan bahagian luarnya pula dijangkakan menawarkan panel 6.2-inci beresolusi HD+ dan kadar penyegaran semula 120Hz.
Untuk kameranya, Samsung turut dikatakan akan mengekalkan tri-kamera sebagaimana yang terdapat pada Z Fold 3. Cuma untuk kali ini, kamera utamanya akan menawarkan 50MP berbanding sebelum ini yang menawarkan 12MP pada ketiga-tiga kamera sebelum ini.
Manakala kamera di bawah paparannya pula, pengguna Twitter berkenaan mendakwa Samsung Galaxy Z Fold 4 kelak akan menggunakan sensor 16MP. Namun, untuk kamera swafoto pada sebelah hadapannya pula masih lagi kekal dengan 10MP.
Kuasa bateri bagi Galaxy Z Fold 4 yang bakal hadir dengan sokongan 5G ini dikatakan masih lagi sama iaitu 4,400mAh. Ia juga dikatakan akan turut menyokong pengecasan pantas 25W.
Secara keseluruhannya, Galaxy Z Fold 4 ini berkemungkinan akan mengetengahkan penambahbaikan dari segi keupayaan perkakasan yang lebih berkuasa tanpa sebarang gimik-gimik terbaru. Tidak dapat dipastikan sama ada Galaxy Z Fold 4 ini kelak akan turut didatangkan dengan S Pen atau tidak. Apa pun, segala desas-desus ini masih lagi belum dapat dipastikan kesahihannya selagi kita belum menerima apa-apa kenyataan rasmi dari pihak Samsung.













