SpaceX telah mengumumkan pakej baharu perkhidmatan internet Starlink yang lebih premium. The Verge melaporkan pakej yang ditawarkan pada harga yang tinggi ini dikenali sebagai Starlink Premium.

Melalui pakej ini, pengguna ditawarkan dengan internet berkelajuan di antara 150 dan 500Mbps dengan kependaman di antara 20 hingga 40ms. Kelajuan memuat naiknya juga dinaikkan kepada 20 hingga 40Mbps berbanding pakej standard yang menawarkan kelajuan di antara 10 hingga 20Mbps.

Pun begitu, untuk peningkatan prestasi sebanyak dua kali ganda ini, pengguna perlu membayarnya sehingga lima kali ganda. Starlink Premium berharga $500 (~RM2,100) sebulan berbanding pakej stardard yang mengenakan bayaran sebanyak $99 (~RM413) sebulan.

Pengguna juga perlu membayar kos piring satelit dan juga perkakasan lain yang berharga $2,500 (~RM10,400). Deposit sebanyak $500 (~RM2,00) juga diperlukan untuk pengguna menempah piring satelit pakej premium tersebut. Kos ini juga terlalu tinggi jika dibandingkan dengan kos perkakasan pakej standard yang hanya sebanyak $500 (~RM2,00).

Menurut SpaceX, perkhidmatan baharu ini juga boleh berfungsi dengan baik walaupun di dalam keadaan cuaca buruk disamping menerima keutamaan di dalam sokongan sepanjang 24 jam.

Starlink telah menamatkan peringkat beta perkhidmatannya pada Oktober tahun lau. Perkhidmatan internet satelit ini juga baru-baru ini telah mendedahkan piring satelit baharunya yang berbentuk segi empat yang kini lebih nipis dan kecil berbanding piring bulat sebelum ini.

Bagaimanapun, untuk piring pakej Premiumnya pula, ia hadir dengan saiz yang lebih besar bagi tujuan meningkatkan kualiti penerimaan isyaratnya.

Starlink telah melancarkan lebih dari 2,000 buah satelitnya sehingga pertengahan Januari lalu dengan sebanyak 1,500 sedang beroperasi di dalam orbit masing-masing. Sistem semasanya kini membenarkan sehingga 4,408 buah satelit dioperasikan.

Tinggalkan komentar