Bersempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, perkhidmatan penstriman freemium dari Astro, Sooka kini menawarkan diskaun 50% untuk pelan VIP. Ketika dilancarkan pada Jun lalu, perkhidmatan ini menawarkan dua jenis pelan kepada para penggunanya.
Salah satunya, VIP Entertainment berharga RM 15.40 sebulan membolehkan pengguna menikmati perkhdimatan penstriman bebas iklan dan akses ke kandungan premium.
Pelan ini tidak menyertakan kandungan sukan kerana kandungan berkenaan termasuk di dalam pelan VIP+Sports yang berharga RM 41.90 sebulan.
Melalui promosi baharu ini, anda boleh mendapatkan pelan VIP Entertainment Sooka pada RM 7.90 atau RM 20.90 untuk pelan VIP+Sports. Diskaun harga langganan bulanan ini bagaimanapun hanya ditawarkan untuk bulan pertama sahaja.
Selepas tempoh sebulan pertama tamat, anda akan kembali ke kadar asalnya iaitu RM 15.90 dan RM 41.90 mengikut jenis pelan VIP yang diambil. Tawaran ini juga hanya diberikan kepada pelanggan yang belum pernah mengambil pelan VIP Sooka sebelum ini.
Bagi anda yang berminat untuk menikmati kandungan Sooka, anda boleh melayari laman web rasminya. Atau anda juga boleh mendapatkan aplikasi mudah alihnya di Google Play Store atau Apple App Store.













