Sony baru-baru ini melancarkan kamera kompak berbingkai penuh (full frame compact camera), Sony Alpha 7S II atau α7S II. Ia dilancarkan tidak lama selepas pelancaran Sony Alpha 7R II pada Julai lalu.
Mengikut cara penamaan model-model kamera keluaran Sony, model “S” merupakan model yang memiliki kelebihan menangkap imej di dalam keadaan pencahayaan yang rendah. Diperkasakan dengan tahap ISO maksimum sehingga 409,600, ia menjadi salah satu faktor yang memberikannya kelebihan untuk mengambil imej dalam keadaan kurang pencahayaan.
Selain dari keistimewaan tersebut, kamera Sony Alpha 7S II berkemampuan merakam video 4K dalam format XAVC S melalui sokongan penderia kamera berbingkai penuh ini yang berkeupayaan sehingga 12.2 mega piksel.
Bercerita tentang merakam video, Alpha 7S II boleh merakam 120fps pada 100Mbps untuk merekodkan video dalam gerak perlahan (slow-motion).
Lain-lain ciri yang perlu diambil maklum pada kamera ini adalah sistem penstabilan imej 5 paksi (5-axis image stabilization system) dan modul auto fokus yang memiliki 169 poin AF. Malah, kamera ini turut dilengkapi dengan sokongan sambungan Wi-Fi dan NFC.
Sony Alpha 7S II dijangka hadir ke pasaran Eropah dalam bulan November ini pada harga saranan €3,400 (bersamaan RM 16,595).
Teknologi fotografi dalam keadaan kurang pencahayaan kini kian berkembang melalui kehadiran kamera-kamera yang memiliki jumlah ISO tinggi semakin banyak di pasaran. Malahan kamera kompak pada harga mampu milik pun sudah mampu menghasilkan imej kurang pencahayaan pada kualiti yang sederhana.
Sumber info diperoleh dari B & H