Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada hari ini telah mengumumkan penutupan sementara ibu pejabatnya untuk tempoh dua hari bermula dari hari ini sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19.
Pelaksanaan penutupan sementara waktu ini turut melibatkan premis lama SKMM yang terletak bersebelahan dengan ibu pejabat. Perkhidmatan kaunter pembayaran penguntukan radas di ibu pejabat SKMM juga akan digantung buat sementara waktu bermula dari semalam hingga 8 Mac ini.
Bagaimanapun, orang ramai masih boleh membuat urusan permohonan dan pembayaran penguntukan radas melalui saluran-saluran seperti di bawah:
Permohonan penguntukan radas:
- Permohonan boleh dikemukakan secara elektronik melalui https://espectra.mcmc.gov.my/; atau
- Bagi pemohon baharu, salinan scan copy borang permohonan yang telah dilengkapkan boleh dihantar melalui e-mel kepada espectra.support@mcmc.gov.my
Bagi anda yang ingin membuat pembayaran penguntukan radas, anda boleh membuat melalui portal pembayaran https://epayment.skmm.gov.my
Kakitangan SKMM pada ketika ini turut diarahkan menjalankan kerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan sementara pejabat-pejabat yang terlibat. Berdasarkan statistik terbaru dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejumlah 95,124 kes COVID-19 di seluruh dunia setakat jam 8 pagi waktu Malaysia hari ini. Jumlah kes di Malaysia buat masa ini masih lagi kekal pada 50 kes dengan pertambahan terbaru dicatatkan semalam.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan permohonan penguntukan radas atau permohonan lesen, boleh dikemukakan kepada:
- Penguntukan radas: : espectra.support@mcmc.gov.my
- Pelesenan: licensing@mcmc.gov.my
Sumber berita diperoleh dari SKMM dan Bernama













