Aplikasi malware mudah alih baharu yang dikenali sebagai Pink WhatsApp mula menular selepas pertama kali diketemukan di India. Sebagai langkah berjaga-jaga, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengeluarkan pemberitahuan mengenai bahaya aplikasi tersebut kepada orang ramai.
Menurut kenyataan tersebut, Pink WhatsApp memperdayakan orang ramai dengan mengiklankan dirinya sebagai ciri yang memberikan lebih keselamatan dan privasi. Ia juga mendakwa mampu menawarkan ciri mengubahsuai antaramuka serta boleh menghantarkan fail yang lebih besar berbanding WhatsApp asli.
Bagaimanapun, mangsa yang memasang aplikasi tersebut akan memberikan akses kepada maklumat sulit dan peribadi pengguna. Antaranya melibatkan maklumat persendirian, perbankan, foto, SMS dan senarai kenalan yang boleh dihubungi.
PEMBERITAHUAN
MCMC GESA ORANG RAMAI UNTUK TIDAK MUAT TURUN APLIKASI HASAD
"PINK WHATSAPP"#MCMC pic.twitter.com/JrIxuwfQlR— MCMC (@MCMC_RASMI) June 27, 2023
Terdapat juga laporan yang mengatakan aplikasi malware berkenaan mampu menjangkiti peranti-peranti lain melalui mesej yang dihantar oleh pengguna lain ke dalam telefon anda.
SKMM mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat turun dan memasang aplikasi tersebut. Jika ia sudah berada di dalam telefon pintar pengguna, anda dinasihatkan supaya memadamkannya dengan segera.
Agensi yang sama ini juga menggesa pengguna supaya hanya memuat turun dari sumber yang rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery sahaja. SKMM juga meminta supaya melaporkan segera sebarang aktiviti meragukan melibatkan Pink WhatsaApp ke portal Aduan rasminya atau di talian Hotline Aduan 1800-188-030.