Pelaksanaan pemberian subsidi bersasar petrol RON95 kini berada di peringkat akhir sebelum dimuktamadkan. Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, sistem kuota bulanan akan diperkenalkan untuk individu yang layak menerima subisidi bahan api ini.

Tambah beliau lagi, penetapan kuota ini bertujuan mengelakkan penyalahgunaan pemberian subsidi tersebut. Sistem kuota ini menurut beliau akan ditetapkan mengikut pengguna biasa dan juga bagi pengguna yang bergantung pada penggunaan petrol seperti pemandu e-hailing dan penghantar makanan. Perincian mengenai rancangan pelaksanaan pemberian subsidi bersasar petrol RON95 dijangka akan diumumkan pada penghujung September.

Setakat ini kaedah yang akan digunapakai untuk pemberian subsidi bersasar ini melibatkan penggunaan MyKad, e-wallet dan aplikasi mudah alih stesen minyak berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Kewangan di Parlimen baru-baru ini.

Pihak kementerian juga menyatakan syarat kelayakan akan ditentukan secara semak silang rekod pendapatan, banci isi rumah, dan data daripada PADU. Lain-lain faktor seperti pemilikan kediaman mewah dan kenderaan mewah juga akan diambil kira.

Tinggalkan komentar