realme Malaysia secara rasminya telah melancarkan siri GT 7 di Malaysia melalui tiga model iaitu GT 7, Dream Edition yang diinspirasikan pasukan Formula One Aston Martin dan 7T.

Dari segi spesifikasi, GT 7 dilengkapkan dengan pemprosesan MediaTek Dimensity 9400e Plus yang secara asasnya merupakan Dimensity 9300 yang dijenamakan semula. Lain-lain ciri spesifikasinya termasuklah RAM 12GB, storan dalaman 512GB, bateri 7,000mAh dan pengecasan ultra-pantas 120W yang memenuhkan 50% dalam tempoh 14 minit, dan 100% dalam 40 minit.

Untuk paparannya telefon pintar ini menampilkan panel AMOLED 6.8-inci 2.8K. Kameranya pula terdiri daripada dua buah iaitu lensa lebar 50MP Sony 906, dan ultra lebar 8MP. Kamera swafotonya pula 16MP.

Seterusnya realme GT 7 Dream Edition secara asasnya sama dengan model standard dengan perbezaan utamanya pada warna Racing Green Aston Martin. Ia juga mempunyai RAM yang lebih besar 16GB, berbanding 12GB untuk model standard. Selain itu, telefon pintar ini hadir dalam bentuk pembungkusan khas kotak koleksi yang disertakan bersama bekas telefon Silver Wing, dan pin SIM berbentuk kereta lumba F1.

Akhir sekali realme GT 7T menawarkan perkakasan yang hampir sama dengan GT 7 kecuali pemprosesan dan sensor kamera utamanya. Ia menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 8400 Max dan untuk kamera utama tersebut merupakan Sony IMX896 50MP.

Harga untuk siri realme GT 7 ini bermula dari RM1,999 untuk realme GT 7T, RM2,599 untuk realme GT 7 dan untuk Dream Edition pula harganya RM2,999. Warna yang ditawarkan untuk model selain dari Dream Edition, hadir dengan pilihan IceSense Blue dan IceSense Black.

Pra-tempahan realme GT 7 mula dibuka 31 Mei ini sehingga 30 Jun 2025. Anda yang membuat pra-tempahan akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM997 selagi stok masih ada.

Tinggalkan komentar