Sebagaimana Google Pixel 3 yang dilancarkan pada tahun lalu, kemunculan Google Pixel 4 dan Pixel 4 XL adalah sesuatu yang sudah dijangkakan dari syarikat gergasi enjin carian ini. Semalam, Google telah secara rasminya melancarkan kedua-dua model telefon pintar mercu ini.

Pixel 4 dan Pixel 4 XL, kedua-duanya dikuasakan oleh Snapdragon 885. Pilihan cipset dari Google ini agak mengejutkan juga memandangkan kebanyakan pihak menjangkakan cipset yang lebih berkuasa seperti Snapdragon 855+ akan menjadi pilihan.

Apa pun, Snapdragon 885 juga sebenarnya cipset yang berprestasi tinggi dan sepadan dengan telefon pintar mercu yang dilancarkan ini. Tambahan pula, ia turut dilengkapkan dengan enjin Pixel Neural Core untuk tujuan pemprosesan atas peranti.

Selanjutnya, kedua-dua model telefon pintar ini didatangkan dengan RAM 6GB LPDDR4x bersama-sama paparan dengan kadar refresh 90Hz bersama-sama Soli-Motion Sensing Radar yang terbina di dalamnya.

Kedua-duanya juga menawarkan fungsi Hand Gestures dan Face Unlock. Bercerita tentang paparan, Pixel 4 menawarkan paparan 5.7-inch Full HD+, manakala untuk Pixel 4 XL pula ia menawarkan paparan 6.3-inci beresolusi QHD+.

Untuk baterinya pula, Pixel 4 akan menggunakan bateri berkapasiti 2,800mAh dan untuk Pixel 4 XL pula dilengkapkan dengan bateri yang berkapasiti lebih besar, 3,700mAh. Kapasiti untuk storan dalaman telefon pintar ini ditawarkan dalam dua pilihan iaitu 64GB atau 128GB.

Modul Kamera Pixel 4

Satu lagi sorotan utama Pixel 4 adalah pada modul dwi-kamera pada kamera utamanya. Secara terperincinya, modul kamera berkenaan menempatkan satu lensa 16MP f/2.4, telefoto 1.0 μm bersama-sama penderia 12.2MP f/1.7, 1.4 μm dengan PDAF. Untuk kamera hadapannya pula, kedua-dua peranti Pixel 4 ini menempatkan satu kamera berpenderia 8MP f/2.0 1.22 μm.

Sebagai tambahan kepada lebihan penderia kamera, perisian kamera Pixel 4 turut menawarkan beberapa penambahbaikan. Antaranya termasuklah Live HDR+, Kawalan Dual Exposure dan penambahbaikan pada White Balancing, Mod Portret dan Pandangan Malam.

Google Pixel 4 dan Pixel 4 XL akan mula memasuki pasaran global pada 24 Oktober ini. Dari segi harga, Pixel 4 akan dijual pada harga US$799 (~RM3348) manakala Pixel 4 XL pula akan dijual pada US$899 (~RM3767). Kedua-dua peranti ini akan ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Clearly White, Just Black, dan edisi terhad Oh So Orange.

Sumber berita diperoleh dari Bussiness Insider

Tinggalkan komentar