Kerajaan Selangor telah memperkenalkan dua platform e-dagang khusus untuk program e-Bazar Ramadan iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (PLATS).

Turut diumumkan, insentif sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi menggalakkan para peniaga menyertai inisiatif ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan kerajaan Selangor telah mengenalpasti 77 pusat pengumpulan makanan merangkumi 10 buah dewan majlis perbandaran dan 67 restoran di seluruh Selangor.

Beliau turut akan memastikan pusat-pusat ini mematuhi kaedah penjarakkan sosial dan piawaian kebersihan yang ketat. Para peniaga juga perlu mengambil suntikan tifoid sebagaimana ketetapan oleh Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan.

Turut ditegaskan lokasi-lokasi yang telah dipilih ini hanya akan berperanan sebagai pusat pengumpulan sahaja dan tiada sebarang aktiviti memasak dibenarkan. Menteri Besar juga mengingatkan orang ramai bahawa tiada sebarang pembelian secara terus dibenarkan dan penghantaran hanya dilakukan oleh perkhidmatan terpilih iaitu Grab, Bungkusit, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Tinggalkan komentar