Seagate telah mengesahkan rancangannya untuk menutup kilang pengeluarannya di Malaysia sebagai sebahagian dari langkah penstrukturan semula. Langkah ini bakal melihat penutupan dua buah kilang Seagate yang tiap satunya terletak di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Terdahulu, syarikat pengeluar hard disk ini mengeluarkan kenyataan bagi mengurangkan jumlah keseluruhan tenaga kerjanya kepada 14 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang. Ramalan awal menjangkakan sejumlah 8,000 orang pekerja akan terlibat dalam langkah pengurangan kos ini dan kilang-kilang Seagate di Malaysia turut terlibat dalam rancangan ini.
Lewat kebelakangan ini Seagate mengalami kemerosotan hasil jualan produknya apabila hasil laporan suku tahun kedua 2016 mencatatkan jumlah keseluruhan jualan sekitar 37 juta unit HDD. Jumlah ini kurang berbanding jualan untuk tempoh yang sama pada tahun lalu yang berjaya mencatatkan sekitar 45.2 juta unit.
Antara faktor yang mendorong kemerosotan jualan HDD adalah pengurangan jumlah jualan komputer peribadi di serata dunia sejak akhir-akhir ini.
Tiada pengumuman tentang tarikh sebenar penutupan operasi terhadap kilang-kilang Seagate Malaysia berkenaan. Namun, berdasarkan pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Seagate melalui laporan yang disampaikan oleh New Straits Times, tidak sangka langkah pengurangan kos ini berlaku dengan agak pantas.
Semoga pekerja-pekerja yang terlibat dalam pemberhentian ini diberikan kekuatan semangat dalam mengharungi cabaran getir ini untuk meneruskan kehidupan.
Imej diperoleh dari The Star













