Bermula hari ini, 9 Februari 2026, bantuan kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 secara ‘one-off’ telah mula dikreditkan kepada semua warganegara Malaysia yang layak.

Inisiatif pusingan kedua yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 ini memanfaatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas.

Kredit tersebut disalurkan terus ke dalam MyKad penerima untuk pembelian barangan keperluan asas di lebih 10,000 kedai dan pasar raya terpilih di seluruh negara.

Peluaasan Kategori Kepada Makanan Sejuk Beku

Screenshot

Dalam perkembangan terkini, senarai barangan yang boleh dituntut menggunakan kredit SARA telah diperluaskan. Inisiatif SARA kini memasukkan makanan sejuk beku sebagai salah satu item yang boleh ditebus.

Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kategori barangan keperluan asas kepada 15 jenis, merangkumi lebih 140,000 variasi produk yang layak dibeli oleh pengguna.

Penerima bantuan boleh menggunakan kredit RM100 ini bermula hari ini sehingga tarikh luput pada 31 Disember 2026. Baki kredit yang tidak digunakan dalam satu transaksi akan kekal sah dan boleh digunakan untuk pembelian seterusnya sehingga akhir tahun ini. Sebarang baki yang tidak dituntut dilupuskan selepas tarikh tersebut.

Proses penebusan dilaksanakan secara tanpa tunai menggunakan MyKad:

  • Penerima perlu mengunjungi mana-mana pasar raya atau kedai runcit yang mengambil bahagian.
  • Pilih barangan keperluan yang tersenarai di bawah program SARA.
  • Hadir ke kaunter pembayaran khusus untuk SARA atau MyKasih.
  • Serahkan MyKad untuk imbasan. Jika nombor PIN diperlukan, kod lalai adalah enam digit pertama nombor MyKad penerima.

Bantuan tunai ‘one-off’ RM100 ini disasarkan kepada semua rakyat Malaysia dewasa, dengan anggaran penerima mencecah 22 juta orang.

Pelaksanaan program ini dijangka menelan belanja sekitar RM2.2 bilion. Ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui bantuan bersasar.

Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak status kelayakan masing-masing secara dalam talian sebelum membuat penebusan.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi kelegaan kewangan segera, malah menawarkan fleksibiliti yang lebih luas kepada pengguna melalui penambahan kategori barangan baharu.

Tinggalkan komentar