Samsung telah mengumumkan ciri baharu Tap To Transfer untuk platform dompet digitalnya, Samsung Wallet. Sama seperti ciri Apple Tap To Pay, ia membenarkan pemindahan wang dilakukan di antara dua telefon pintar yang menyokong ciri tersebut. Ia boleh digunakan oleh pengguna-pengguna biasa dan tidak terhad kepada perniagaan sahaja melalui pemindahan rakan-ke-rakan (peer-to-peer, P2P).

Dibangunkan menerusi kerjasama dengan Visa dan Mastercard, Tap To Transfer membolehkan pengguna menggunakan kad debit yang disimpan di dalam Wallet untuk menghantar wang ke akaun bank rakan dan ahli keluarga dengan hanya menyentuh (tap) kedua-dua telefon pintar menggunakan teknologi NFC. Aplikasi ini juga menyokong pemindahan jarak jauh menggunakan nombor telefon jika penerima turut mempunyai aplikasi yang sama.

Ciri ini hanya terhad untuk peranti Galaxy dengan NFC dan sokongan untuk Samsung Wallet. Bagaimanapun, Tap To Transfer buat masa ini hanya terhad untuk pengguna di Amerika Syarikat (AS) sahaja. Tiada maklumat mengenai rancangan untuk memperluaskan ciri ini ke pasaran-pasaran lain di masa hadapan.

Samsung Wallet turut menawarkan pelbagai ciri-ciri lain seperti Samsung Pay, pengurus kata laluan, kunci kereta digital untuk jenama-jenama tertentu, dan ID digital di sesetengah negara. Terdapat juga perniagaan-perniagaan yang menawarkan pas dan tiket digital yang boleh disimpan di dalam telefon pintar menerusi aplikasi tersebut.

Tinggalkan komentar