Samsung baru-baru ini telah menerbitkan aplikasi ‘Walkie-Talkie’ yang boleh digunakan pada jam tangan pintar Galaxy Watch4. Melaluinya, anda boleh menggunakannya untuk berborak dengan kenalan anda persis watak di dalam filem perisikan.

Berkomunikasi menerusi aplikasi Walkie-Talkie ini dengan pengguna lain bagaimanapun memerlukan kaedah tertentu untuk memulakannya. Anda perlu terlebih dahulu mencari pasangan Galaxy Watch4 anda menerusi Bluetooth dan menggandingkannya melalui kod pin.

Ini bermakna kenalan yang akan berkomunikasi perlu terlebih dahulu berada di dalam kawasan yang berhampiran. Senarai kenalan akan ditambah ke dalam aplikasi untuk memudahkan untuk dihubungi di masa depan.

Sebaik sahaja digandingkan, anda hanya perlu menekan lama (hold) butang mikrofon untuk menghantar suara anda ke peranti kenalan anda tadi. Dalam pada masa yang sama, segala transmisi pada penerima akan dipaparkan bagi menunjukkan identiti penghantar.

Samsung menggalakkan Galaxy Watch4 anda dihubungkan dengan telefon pintar anda sepanjang masa apabila menggunakan aplikasi Walkie-Talkie ini buat pertama kali. Selepas itu, aplikasi berkenaan boleh digunakan secara terus tanpa perlu disambungkan ke telefon. Terdapat juga pilihan untuk mematikan aplikasi ini jika anda tidak mahu diganggu.

Aplikasi Walkie-Talkie ini bagaimanapun hanya ditawarkan secara eksklusif pada siri Galaxy Watch4 sahaja. Tiada perancangan untuk memperkenalkannya ke peranti boleh-pakai Samsung atau peranti Wear OS baharu lain dilaporkan setakat ini.

Aplikasi Walkie-Talkie untuk perhubungan jarak dekat ini bukanlah sesuatu yang baharu. Fungsi ini pernah diperkenalkan pada Apple Watch pertama kalinya pada 2018.

Tinggalkan komentar