Samsung telah mengumumkan model-model TV Micro LED baharu bersempena acara CES 2022. Barisan TV Micro LED ini boleh didapati dalam tiga saiz berbeza iaitu 89, 101 dan 110-inci dengan nisbah kerangka ke skrinnya 99.99%.

Menurut Samsung, TV Micro LED baharu berkenaan mempunyai sokongan DCI dan gamut warna Adobe RGB 100%.

Televisyen berkenaan juga akan mempunyai sebahagian ciri yang boleh diubahsuai dengan tiga mod untuk dipilih. Antaranya Art, Multiview dan ia didatangkan dengan sokongan Dolby Atmos.

Samsung NEO QLED 2022

Selain itu, siri NEO QLED 2022 turut dipertontonkan. Untuk televisyen ini pula, ia menampilkan Pemprosesan Neo Quantum untuk menawarkan pemetaan kontras yang lebih canggih menggunakan pencahayaan belakang (backlight).

Televisyen ini juga mempunyai mod EyeComfort yang secara automatiknya melaraskan tahap kecerahan paparan dan tona warna berdasarkan penderia cahaya terbina dalam. Kecerahan paparan ini berubah berdasarkan cahaya ambien. Ia akan mengubah tona warna paparan ke tona yang lebih hangat bagi menyeimbangkan dengan cahaya biru berdasarkan keadaan persekitarannya.

Kualiti bunyinya turut ditambahbaik melalui Samsung Object Tracking Sound atau Samsung OTS yang kini dinaiktaraf kepada OTS Pro. Televisyen ini juga hadir dengan pembesar suara saluran atas bagi menghasilkan bunyi keliling pada sebelah atas.

Untuk skrin Samsung Lifestyle pula, terdapat tiga pilihan ditawarkan iaitu Frame, Sero dan Serif. Ketiga-tiganya menampilkan paparan matte baharu dengan ciri anti-silau, anti-pantulan dan anti kesan cap jari.

Turut diperkenalkan sebilangan monitor-monitor baharu oleh Samsung di dalam acara CES 2022. Antaranya Odessey Neo G8 yang mempunyai skrin bersaiz 32-inci. Ia merupakan monitor pertama yang menampilkan skrin melengkung 4K 1000R dengan kadar penyegaran semula 240Hz dan masa respons 1ms. Paparannya juga mempunyai Mini LED Quantum dengan kecerahan tertinggi 2,000 nits.

Untuk Smart Monitor M8 2022 pula, ia juga mempunyai skrin bersaiz 32-inci dengan ketebalan 11.4mm. Ini eterusnya menjadikan model ini lebih nipis berbanding model sebelumnya.

Ia juga menyokong aplikasi penstriman popular seperti Amazon Prime Video dan Netflix yang kini menjadi pilihan untuk digunakan apabila monitor tersebut dijadikan hab SmartThings. Ini seterusnya membolehkan pengguna mengawal peranti rumah pintar yang mempunyai ketersesuaian dengan platform Samsung SmartThings.

Seterusnya, Samsung High-Resolution Monitor S8 pula boleh didapati di dalam dua pilihan saiz iaitu 27-inci dan 32-inci. Kedua-dua saiz ini juga menawarkan pengecasan secara USB-C 90W untuk peranti output video yang bersambungan. Turut disediakan cagak berketinggian boleh laras dengan titik-titik kawalan kecondongan, kekili (swivel) dan pangsi (pivot).

Tinggalkan komentar