Samsung dilaporkan telah menangguhkan pengeluaran besar-besaran untuk beberapa model dalam siri telefon pintar utamanya yang akan datang, Galaxy S26. Penangguhan ini dijangka akan menyebabkan kelewatan pelancaran rasmi siri tersebut, yang lazimnya diadakan pada bulan Januari setiap tahun.
Menurut laporan dari media Korea Selatan, The Elec, hanya model Galaxy S26 Ultra yang akan memasuki fasa pengeluaran besar-besaran mengikut jadual asal pada bulan Disember. Manakala, pengeluaran untuk varian lain seperti Galaxy S26 dan S26 Plus hanya akan bermula pada Januari tahun berikutnya.
Turut dinyatakan di dalam laporan tentang beberapa perubahan pada barisan model siri ini. Samsung dikatakan telah menggugurkan nama “Pro” untuk versi asas dan kembali menggunakan nama Galaxy S26 biasa. Selain itu, model S26 Edge yang dilaporkan menerima sambutan kurang memberangsangkan telah dibatalkan. Sebagai ganti, Samsung akan memperkenalkan semula model S26 Plus.
Perubahan pada barisan model ini, terutamanya pembatalan S26 Edge dan pembangunan semula model S26 Plus, disebut sebagai punca utama kelewatan pengeluaran. Pembangunan model baharu ini memerlukan masa tambahan, menyebabkan Samsung memerlukan lebih kurang sebulan lagi sebelum memulakan produksi. Walau bagaimanapun, pembangunan untuk model Galaxy S26 biasa dan S26 Ultra dilaporkan telah selesai.
Kesan daripada penangguhan pengeluaran ini, pelancaran siri Galaxy S26 berkemungkinan besar akan dianjakkan. Khabar angin sebelum ini turut menyokong jangkaan ini, dengan menyatakan bahawa siri telefon pintar tersebut mungkin hanya akan dilancarkan secara rasmi pada bulan Mac 2026.













