Samsung Electronics, kini dilaporkan berdepan konflik dalaman yang kritikal apabila bahagian semikonduktornya enggan memenuhi pesanan RAM daripada unit telefon mudah alih syarikat itu sendiri.
Situasi luar biasa ini berpunca daripada kekurangan bekalan memori global yang didorong oleh permintaan mendadak terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
Ia turut menyebabkan lonjakan harga cip memori tertentu sehingga 60 peratus sejak September lalu. Keadaan ini memaksa Samsung mengutamakan kontrak cip AI yang lebih menguntungkan berbanding keperluan produk pengguna mereka sendiri.
Pentingkan Keuntungan Berbanding Perhubungan
Laporan terkini mendedahkan bahawa bahagian Device Solutions (DS) Samsung, yang bertanggungjawab ke atas pengeluaran cip, telah menolak permintaan daripada bahagian Device eXperience (DX) yang mengendalikan elektronik pengguna seperti telefon pintar Galaxy.
Keputusan ini bukan sekadar isu birokrasi korporat, sebaliknya ia mencerminkan krisis bekalan yang lebih besar di mana harga memori melambung tinggi, memaksa syarikat gergasi tersebut melebihkan keuntungan daripada kontrak luar berbanding keharmonian operasi dalaman.
Bahagian DS kini dilaporkan memberi fokus sepenuhnya kepada pengeluaran cip berkaitan AI dan membiarkan pengeluaran mudah alih dalam keadaan terdesak.
Punca utama kemelut pasaran memori ini adalah pertumbuhan teknologi AI yang “rakus” menyerap bekalan. Syarikat seperti Nvidia dan OpenAI sedang membangunkan pusat data atau “ladang pelayan” (server farms) yang memerlukan jumlah memori berprestasi tinggi (HBM) yang besar.
Akibatnya, Samsung bersama pesaing utamanya seperti SK Hynix dan Micron telah mengalihkan barisan pengeluaran mereka untuk mengutamakan HBM, menyebabkan bekalan DRAM tradisional yang digunakan dalam komputer riba dan sistem automotif menjadi sangat terhad.
Krisis kekurangan bekalan dijangka sehingga 2028
Menurut Pengurus Besar Team Group, Gerry Chen, “Peralihan kapasiti kepada HBM akan menyebabkan pasaran mengalami kekurangan bekalan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2027 atau 2028.”
Beliau turut memberi amaran bahawa kilang pembuatan baharu tidak akan siap cukup pantas untuk meredakan masalah ini. Manakala harga bagi DRAM dan NAND telah pun meningkat dua kali ganda dalam tempoh satu bulan sahaja.
Penganalisis pasaran turut menjangkakan harga DDR5 akan terus meningkatkan sehingga tahun 2026 demi meminimumkan risiko lebihan bekalan.
Kesan kenaikan harga dan kekurangan bekalan ini dapat dilihat dalam bentuk:
- Lonjakan Harga Modul: Sesetengah modul RAM mencatatkan kenaikan harga antara 163% hingga 619% pada akhir tahun 2025.
- Harga Kontrak DDR5: Modul 32GB meningkat daripada $149 kepada $239, manakala kapasiti 128GB kini berharga sekitar $1,194.
- Kos Komponen Mudah Alih: Harga LPDDR5X telah meningkat dua kali ganda kepada kira-kira $70 berbanding $33 pada awal tahun, meningkatkan kos komponen telefon pintar sebanyak 25% atau lebih.
Secara keseluruhannya, konflik dalaman Samsung ini memberikan gambaran jelas mengenai cabaran industri yang lebih meluas.
Pengguna dijangka akan menanggung kos yang lebih tinggi untuk menaik taraf komputer atau membeli peranti baharu, manakala sektor automotif mungkin menghadapi kelewatan dalam sistem inforia dan teknologi pemanduan autonomi.
Dalam keadaan syarikat-syarikat utama terus bertaruh pada pertumbuhan AI, pasaran memori dijangka kekal tidak menentu. Harga peranti pula mungkin akan terus meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.













