Produk skrin gergasi, The Wall seringkali menjadi alah satu tarikan utama yang dipertunjukkan oleh Samsung di dalam pelbagai acara dan pameran industri dan teknologi.
Ia direka khusus untuk kegunaan perusahaan dan perniagaan, namun jika anda berhasrat untuk memasangkannya di rumah, anda boleh mendapatkannya dengan Samsung Malaysia.
Buat masa ini terdapat tiga model The Wall All-in-One yang ditawarkan di Malaysia dan model terbesar bersaiz 146-inci dengan sokongan 4K.
Juga dikenali sebagai IAB Series ketika dilancarkan di ISE Barcelona pada tahun lepas, Samsung menyatakan skrin seberat 160kg ini boleh dipasang di premis anda dalam tempoh dua jam sahaja walaupun saiznya begitu besar.
Menggunakan pemprosesan Samsung Neural Quantum Processor 4K dengan 20-bit dan sistem operasi Tizen 6.5, skrin bersaiz 146-inci ini juga menggunakan teknologi paparan dari Samsung seperti Black Seal dan Ultra Chroma untuk memastikan output yang berkualiti.

Sebagai penambahan untuk sokongan HDR10 dengan tahap kecerahan puncak sehingga 1,600 nits, ia juga mempunyai pembesar suara stereo 10W bersama-sama kotak kawalan yang berintegrasi ke dalam skrinnya sungguhpun hanya berketebalan 49mm.
Untuk port input dan outputnya pula, model 146-inci 4K ini menawarkan satu DisplayPort 1.2, dua USB 2.0 dan tiga port HDMI 2.0. Harganya pula RM1,229,419.
Selain dari model 4K tersebut, terdapat dua lagi varian yang menawarkan resolusi Full HD pada harga RM707,132 dengan saiz 146-inci. Turut ditawarkan, skrin bersaiz sedikit kecil pada 110-inci FHD pada harga RM495,543.
Buat masa ini skrin Samsung The Wall dipamerkan di Senheng x Samsung Experience Store di Shoppes @ Four Seasons Place Kuala Lumpur. Berminat untuk memasangkannya di rumah atau di pejabat anda? Hubungi b2b.sales.my@samsung.com mendapatkan khidmat nasihat.













