Buat anda yang sedang berhasrat mendapatkan projektor mudah alih, projektor Samsung, The Freestyle akan hadir ke Malaysia tidak berapa lama lagi. Samsung Malaysia telah mula menerima pendaftaran minat dan pra-tempahan dalam minggu ini.
Diumumkan pada CES 2022, The Freestyle merupakan projektor kompak seberat 0.83kg yang boleh diputarkan sehingga 180 darjah menerusi cagaknya.
Projektor ini mampu memancarkan saiz paparan antara 30 hingga 100-inci pada resolusi 1080 dengan kecerahan 550 lumens.
Beberapa fungsi televisyen pintar turut dimuatkan ke dalam The Freestyle melalui sistem operasi Tizen. Melaluinya, anda boleh melancarkan aplikasi penstriman seperti Netflix, YouTube, Amazon Prime Video, Disney+ dan Apple TV secara terus.
Turut disediakan sokongan untuk memancarkan kandungan dari Android dan iOS. Untuk pengalaman yang lebih lancar, anda boleh meletakkan peranti Samsung Galaxy anda pada Freestyle untuk memulakan pencerminan skrin (screen mirroring) dengan segera.
Sebuah pembesar suara 5W bersudut 360 darjah turut dilengkapkan ke dalam projektor ini. Ia juga menyokong fungsi arahan suara Bixby dan Alexa melalui mikrofon terbina dalamnya.
The Freestyle juga menyediakan input mikro HDMI dan satu port USB-C yang digunakan untuk bekalan kuasanya. Anda boleh menyambungkannya ke adapter kuasa USB-C PD atau menyambungkannya dengan power bank yang bersesuaian.
Untuk memudahkan pengguna mengendalikannya, terdapat fungsi pelarasan automatik yang membolehkan anda membetulkan skrin tanpa perlu mengusik kedudukan projektor secara fizikal.
Jika anda tidak mempunyai dinding berwarna putih, Samsung turut menawarkan fungsi Smart Calibration bagi mengoptimumkan paparan berdasarkan warna pada dinding ia dipancarkan.
Buat masa ini, harga bagi The Freestyle di pasaran Malaysia masih lagi belum diumumkan. Di pasaran Amerika Syarikat, harga projektor ini dijual pada USD 899.99 (~RM3,767).
https://www.youtube.com/watch?v=6lnY8oqVh3A
Anda yang berminat untuk mengetahui tentangnya dengan lebih lanjut boleh mendaftarkan minat menerusi pautan berikut: https://www.samsung.com/my/offer/tv/2022-freestyle-pre-registration/
Pendaftaran melalui Samsung Malaysia bakal melayakkan anda menerima hadiah eksklusif percuma dan eVoucher bernilai RM998 jika anda melakukan pra-tempahan. Pendaftaran minat mula dibuka pada hari ini sehingga 6 Mac 2022.![]()













