Teknologi rangkaian 5G buat masa ini masih lagi belum dimulakan, namun Samsung kini sudah mula mengorak selangkah ke hadapan. Syarikat konglomerat dari Korea Selatan tersebut baru-baru ini telah mengumumkan pelancaran pusat penyelidikan baru yang akan didedikasikan khusus membangunkan teknologi rangkaian 6G.
Korea Herald melaporkan, pusat penyelidikan berkenaan dilancarkan di bawah bahagian penyelidikan dan pembangunannya, Samsung Research. Selain daripada penyelidikan 6G, pusat ini juga turut menjalankan pembangunan teknologi AI dan robotik.
Walaupun teknologi berkenaan masih lagi belum menetaskan sebarang hasil yang memberangsangkan, International Research Journal of Engineering and Technology menyatakan bahawa teknologi 6G bakal mampu mencapai kelajuan pemindahan data sehingga lebih dari 10Gbps. Serta, dapat mengintegrasikan dengan rangkaian satelit.
Sebagai perbandingan, rangkaian 5G yang akan dilancarkan di Malaysia perlu mencapai kelajuan sedemikian, dengan rangkaian 5G TM yang kini berada pada tahap 5Gbps.
Bagaimanapun, teknologi rangkaian 6G ini masih lagi di dalam peringkat yang terlalu awal untuk diperkatakan. Justeru, pelaksanaannya tidak mungkin dapat dilakukan dalam jangka masa yang terdekat ini.
Sumber berita diperoleh dari Korea Herald













