Nampaknya penyelesaian masalah pada Samsung Galaxy S20 Ultra masih lagi belum kunjung tiba. Selepas dilaporkan mengalami masalah pada kamera dan juga cepat panas pada minggu lepas, kali ini masalah terbaru mengakibatkan isu pada paparan.

Oleh itu, sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, Samsung telah menarik semula kemaskini firmware terbaru untuk Galaxy S20 Ultra.

SamMobile melaporkan Samsung telah menarik semula versi kemaskini G988xXXU1ATCT dari digunakan oleh Galaxy S20 Ultra. Langkah ini dapat mengelakkan lebih ramai pengguna terkesan dari kemaskini ini.

Bagaimanapun, fail versi kemaskini yang sama ini masih lagi ditawarkan untuk Galaxy S20 dan Galaxy S20 Plus. Setakat ini Samsung masih lagi belum menyatakan sebab mengapa kemaskini untuk Galaxy S20 Ultra ditarik semula.

Ada kemungkinan penarikan semula ini disebabkan oleh isu yang terdapat pada paparan peranti berkenaan. Terdapat laporan yang mengatakan paparan S20 Ultra mempunyai satu jalur hijau di atas skrin selepas menerima kemaskini April 2020.

Masalah ini berlaku apabila paparan telefon tersebut diubah kadar penyegaran semulanya kepada lebih dari 60Hz, dan kecerahan pula diturunkan ke bawah 30%. Sebagai maklumat Galaxy S20 Ultra boleh dinaikkan kadar penyegaran semula paparannya sehingga 120Hz. Kebanyakan isu ini berlaku terutamanya pada versi Exynos telefon pintar berkenaan.

Samsung buat masa ini dilaporkan sedang mengusahakan cara pembaikan bagi isu jalur hijau yang timbul pada skrin Galaxy S20 Ultra. Cuma buat masa ini tiada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan berkenaan isu ini. Bagi yang mengalami masalah ini, pastinya mengharapkan pembaikan akan hadir melalui kemaskini yang akan datang.

Tinggalkan komentar