Pengeluar bateri Samsung SDI telah melakukan majlis pecah tanah pembinaan kilang pengeluaran bateri silinder untuk kegunaan kenderaan elektrik. Pihak syarikat akan melakukan pelaburan berjumlah 1.7 trillion won (RM5.8 billion) bagi pembinaan ini secara berperingkat sehingga disiapkan pada 2025.
Pengeluaran bateri di Plant 2 Samsung SDI Energy Malaysia (SDIEM) dijangka bermula pada 2024. Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan SDIEM, jumlah keseluruhan pembangunan bernilai RM7 billion dalam dua fasa.
Bateri yang dihasilkan di kilang ini akan digunakan dalam pelbagai bentuk seperti peralatan elektrik, kenderaan elektrik dan mikro-mobiliti. Pembinaan kilang bateri kedua Samsung SDI ini adalah disebabkan oleh permintaan yang meningkat terhadap bateri silinder.
Bulan lepas, Samsung SDI dilaporkan sedang membuat persiapan pengeluaran rintis bateri di Cheonan, Korea Sealatan untuk dihantar ke Tesla sebelum pengeluaran besar-besaran bateri dimulakan di Malaysia.
Pengeluaran rintis bateri di Cheonan merupakan sel bateri 4680 dengan ukuran 46mm diameter dan 80mm panjang. Bateri yang akan dikeluarkan secara besar-besaran di Seremban nanti merupakan bateri PRiMX 21700 berukuran diameter 21mm dan panjang 70mm.
Samsung SDI mempunyai fasiliti pengeluaran di Malaysia, Korea Selatan, China, Austria dan Hungary dengan pelanggan industri automatifnya terdiri daripada BMW, Ford, Volkswagen dan banyak lagi.













