Teka-teki mengenai tarikh pelancaran peranti mercu baharu Samsung akhirnya terjawab apabila gergasi teknologi Korea Selatan berkenaan telah mengesahkan acara Galaxy Unpacked akan berlangsung pada 26 Februari ini.
Sekaligus menamatkan spekulasi hangat mengenai siri Galaxy S26 yang dijangka akan diperkenalkan kepada umum dalam acara global tersebut.
Acara yang dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan ini dilihat bertepatan dengan pameran teknologi mudah alih terbesar, Mobile World Congress (MWC) yang sering menjadi platform utama pelancaran inovasi tahunan.
Acara Unpacked kali ini dijangka akan memberikan fokus sepenuhnya kepada barisan siri Galaxy S26 yang terdiri daripada model standard Galaxy S26, S26 Plus, dan model paling premium, S26 Ultra.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, siri kali ini akan membawakan peningkatan dari aspek pemprosesan dan keupayaan kecerdasan buatan (AI).
Antara penambahbaikan utama yang dinantikan adalah penggunaan cip pemprosesan generasi baharu. Laporan industri menjangkakan Samsung mungkin menggunakan strategi dwi-cip.
Cip yang mana satu?
Beberapa pasaran tertentu akan menerima cip Snapdragon 8 Elite 5 yang menjanjikan prestasi lebih pantas dan efisien. Manakala pasaran global lain mungkin dilengkapkan dengan cip Exynos 2600 hasil rekaan Samsung sendiri.
Cip ini dikatakan akan menyokong ciri “AI-native networking” yang menjadi asas kepada persediaan teknologi 6G pada masa hadapan.
Menurut penganalisis, Siri Galaxy S26 bukan sekadar pembaharuan kosmetik, tetapi lonjakan besar dalam integrasi AI pada peringkat perkakasan. Terutamanya dalam aspek pengurusan bateri dan privasi paparan.
Dari segi spesifikasi paparan, model asas Galaxy S26 dikhabarkan akan hadir dengan skrin yang sedikit lebih besar iaitu 6.3 inci berbanding sebelumnya.
Selain itu, kapasiti bateri juga dijangka meningkat kepada 4,300mAh untuk model standard. Bagi varian Ultra, tumpuan kekal pada keupayaan kamera dengan sensor 200MP yang diperkemaskan. Turut dinantikan, kemungkinan kembalinya ciri ‘variable aperture’ untuk kawalan fotografi yang lebih profesional.
Menjelang tarikh pelancaran yang kian hampir, peminat teknologi kini hanya perlu menunggu pengumuman rasmi mengenai harga dan tarikh pra-tempahan bagi pasaran Malaysia.
Samsung dijangka akan membuka tempahan sejurus tamat acara pelancaran tersebut. Buat anda yang membuat pendaftaran minat, anda berpeluang untuk menerima e-baucar RM150 untuk pembelian barangan terpilih seperti Galaxy Tab, Galaxy Watch, Galaxy Buds termasuk siri Galaxy S26 yang dilancarkan nanti. Tempoh pendaftaran dibuka sehingga 25 Februari 2026.
Kehadiran siri Galaxy S26 ini pastinya akan merancakkan lagi persaingan peranti pintar premium bagi tahun 2026.













