Huawei sedang melalui hari-hari yang sukar yang diakibatkan oleh perang perdagangan yang masih lagi berterusan. Peperangan ini mengakibatkan Google terpaksa menggantung penggunaan lesen perkhidmatan sistem operasi Android untuk Huawei Technologies. Walau bagaimanapun, penggantungan tersebut diberi sedikit kelonggaran dengan Google dibenarkan untuk menyedikan sokongan untuk tempoh 90 hari sahaja.

Huawei kini sedang giat berusaha mengurangkan kesan negatif dari embargo perdagangan oleh kerajaan A.S. Syarikat-syarikat berpangkalan di A.S. seperti Intel, Google, Microsoft dan Fedex telah memutuskan hubungan perdagangan dengan Huawei. Dalam keadaan serba suram buat Huawei, Samsung mengambil kesempatan ini melancarkan kempen promosi di Singapura untuk menarik pengguna telefon pintar Huawei.

Samsung memperkenalkan tawaran baru buat pelanggan Huawei untuk menukar ganti telefon pintar mereka dengan telefon pintar Galaxy S10. Pengguna yang berminat boleh mendapatkan diskaun sehingga SG$ 755 (lebih kurang RM 2,293) dengan menukarkan Huawei Mate 20 Pro. Manakala, penukaran Huawei P20 Pro pula bakal menerima diskaun SG$ 560 (lebih kurang RM 1,701) dan P20 pula SD$ 445 (lebih kurang RM 1,351). Bagi Huawei Mate 20 pula, penukarannya akan mendapat diskaun SG$ 545 (lebih kurang RM 1,655) dan Nova 3i untuk SG$ 300 (lebih kurang RM 911). Tawaran promosi in berlangsung sehingga 31 Mei 2019.

Tawaran ini mungkin sesuatu yang amat dialu-alukan untuk pengguna Huawei, memandangkan masa depan Huawei tanpa Android adalah sesuatu yang amat sukar dibayangkan.

Jualan telefon pintar Huawei amat terkesan akibat dari perang perdagangan yang masih lagi berlarutan ini. Kebanyakan syarikat-syarikat telekomunikasi di seluruh dunia telah menangguhkan pelancaran telefon pintar Huawei keluaran terbaru.

Pada ketika ini, operasi pengeluar telefon pintar kedua terbesar di dunia telah merosot 50% dari pasaran sebenar. Perkembangan terbaru telah membantutkan rancangan Huawei untuk memintas Samsung dalam pasaran telefon pintar dunia.

Untuk memulihkan kesan dari pengharaman oleh A.S ini, Huawei kini terpaksa memerlukan dana sebanyak $1 bilion.

Sumber berita diperoleh dari Bussiness Korea

Tinggalkan komentar