Samsung tidak sekadar mengumumkan kehadiran Galaxy Tab S5e bagi tahun 2019 ini. Malah, gergasi elektronik dari Korea Selatan ini turut memperkenalkan tablet Galaxy Tab A 10.1-inci 2019 untuk pasaran Jerman.
Dari segi rupa luaran, rekabentuk tablet ini hampir menyerupai rekaan Galaxy Tab S5e terutamanya pada bahagian bingkainya. Bagaimanapun, spesifikasinya langsung tidak sama dengan Galaxy Tab S5e memandangkan ia sememangnya tablet berspesifikasi pertengahan.
Tablet berspesifikasi pertengahan ini menawarkan spesifikasi seperti cipset Exynos 7904, RAM 2GB dan storan dalaman 32GB. Untuk paparannya pula, tablet terbaru keluaran Samsung tahun 2019 ini menyediakan paparan LCD IPS beresolusi 1920 x 1200.
Tablet ini menggunakan sistem operasi berasaskan Android 9.0 Pie dengan sokongan pembantu digital terbina dalam, Samsung Bixby bersama-sama bateri berkapasiti 6150mAh. Tidak ketinggalan, Galaxy Tab A 10.1-inci 2019 turut menyediakan kamera utama 8MP, f/2.0 dengan fokus auto dan kamera swafoto 5MP f/2.2.
Dijual dengan dua variasi pilihan sambungan WiFi sahaja atau WiFi dan LTE, tablet ini dijual pada harga pasaran Jerman iaitu antara €210 (lebih kurang RM970) sehingga €270 (lebih kurang RM1247).
Sumber berita diperoleh dari Samsung Jerman













