Selepas melakukan pengujian beta terbuka untuk Maybank baru-baru ini, Samsung telah mendedahkan bahawa sokongan untuk platform pembayaran Samsung Pay akan dikembangkan lagi ke lebih banyak bank-bank di Malaysia tidak lama lagi. Pengumuman ini dibuat sewaktu majlis pelancaran telefon pintar Samsung Galaxy A 2017 untuk pasaran Malaysia semalam.

Apa yang menarik pada platform pembayaran ini adalah ia turut menyokong terminal pembayaran yang berasaskan magnetik selain dari pembayaran melalui NFC yang telah sedia ada. Ini secara tidak langsung membolehkan kebanyakan terminal pembayaran melalui kad di Malaysia menyokong pembayaran melalui Samsung Pay.

Menurut Samsung Malaysia, kad-kad terbaru yang boleh membuat pembayaran melalui Samsung Pay adalah CIMB MasterCard, Citibank MasterCard dan Visa, serta Standard Chartered MasterCard dan Visa.

Bagaimanapun, tiada tarikh rasmi penggunaan platform ini sepenuhnya diumumkan.

Sumber berita diperoleh dari Samsung Malaysia

Tinggalkan komentar