Samsung dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menaikkan harga telefon pintarnya, terutamanya bagi siri kelas pertengahan dan permulaan. Keputusan ini didorong oleh krisis kekurangan bekalan cip memori (DRAM) di peringkat global, yang turut menyebabkan peningkatan kos komponen elektronik.
Menurut laporan media Korea Selatan, Hankyung, telefon pintar yang paling terkesan dengan kenaikan harga ini adalah model dalam siri Galaxy A dan Galaxy M. Walaupun begitu, butiran lanjut mengenai kadar kenaikan harga tersebut masih belum diumumkan secara rasmi.
Kenaikan harga cip memori ini berpunca daripada permintaan tinggi terhadap High-Bandwidth Memory (HBM) yang digunakan untuk pelayan kecerdasan buatan (AI). Peningkatan permintaan ini menyebabkan pengeluar utama mengutamakan penghasilan HBM, sekali gus mengurangkan kapasiti pengeluaran untuk cip DRAM standard yang digunakan secara meluas dalam telefon pintar dan peranti elektronik lain.
DRAM (Dynamic Random-Access Memory) merupakan sejenis memori semikonduktor yang digunakan sebagai memori utama. Perkakasan tersebut digunakan di dalam kebanyakan peranti pengkomputeran moden.
Penganalisis industri meramalkan bahawa krisis kekurangan bekalan DRAM ini boleh berlarutan sehingga “lebih daripada dua tahun”. Sebagai tindak balas, Samsung dilaporkan sedang berusaha untuk mengurangkan impak isu ini dengan memperluaskan barisan pengeluaran DRAM termaju mereka.
Selain siri Galaxy A dan M, siri premium Galaxy S juga berpotensi mengalami kenaikan harga. Ini kerana model-model utama tersebut dilengkapi dengan pelbagai fungsi AI yang memerlukan perkakasan khusus, di mana kosnya kini semakin meningkat.













