Samsung menafikan sebarang laporan mengenai rancangan untuk menamatkan pengeluaran cipset buatannya sendiri, Exynos menurut laporan oleh Maeil Business Newspaper. Gergasi teknologi berkenaan menafikan khabar angin tersebut ketika sidang akhbar pengumuman pendapatan suku kedua tahunan yang diadakan pada minggu lepas.
Sebelum ini, akhbar dari Korea Selatan, Naver mengatakan Samsung tidak akan menggunakan cip Exynos pada telefon pintar Galaxy S yang akan datang. Menurut laporan dari akhbar tersebut lagi, peranti mercu berkenaan mungkin akan menggantikannya dengan cip buatan Samsung baharu yang sedang dalam pembangunan.
Dalam pada masa sama, penganalisis industri Ming-Chi Kuo turut menjangkakan gergasi teknologi ini mungkin akan menggunakan cipset generasi berikutnya, Snapdragon SM8550.
Bagaimanapun, Samsung menafikan kedua-dua laporan tersebut dan menyatakan pihaknya kini sedang melakukan penyusunan semula model perniagaan cipsetnya. Buat masa ini Samsung juga sedang mengusahakan rancangan untuk memperkasakan tahap kompetitifnya dalam jangka panjang.
Samsung sebelum ini telah melakukan pelbagai usaha menambahbaik cip keluarannya sendiri termasuk mengadakan usahasama strategik dengan AMD. Melaluinya, senibina RDNA 2 dari AMD dapat dimanfaatkan pada GPU baharu Xclipse pada Exynos 2200 yang kini digunakan pada Samsung Galaxy S22 di sesetengah pasaran.













