Selain dari melancarkan telefon boleh lipat Samsung Galaxy Z Fold3 dan Galaxy Z Flip3, siri jam tangan pintar Galaxy generasi terkini turut dilancarkan. Siri Galaxy Watch4 menawarkan dalam dua varian iaitu standard dan Classic.

Peranti pintar boleh pakai ini juga merupakan yang pertama di pasaran menggunakan Wear OS versi diperkenalkan semula yang dibangunkan secara bersama oleh Samsung dan Google.

Galaxy Watch4 didatangkan dengan badan aluminium dan boleh didapati dalam dua saiz iaitu 44mm dan 40mm. Manakala Galaxy Watch4 Classic yang lebih premium antara keduanya mempunyai badan keluli tahan karat dan menawarkan dua saiz juga iaitu 46mm dan 42mm.

Sungguhpun dua model Galaxy Watch4 berbeza dari segi saiz, kedua-duanya menawarkan saiz skrin yang sama mengikut model masing-masing. Untuk model Classic, saiznya banyak dibentuk oleh bingkainya yang lebih lebar memberikan citarasa jam tangan yang lebih premium selain dari fungsi bingkai berputar fizikalnya.

Saiz skrin bagi kedua-dua model standard 44mm dan Classic 46mm mempunyai saiz yang sama iaitu paparan Super AMOLED 450 x 450 piksel 1.4-inci. Manakala untuk saiz 40mm dan 42mm pula ia dilengkapkan dengna paparan Super AMOLED 1.2-inci 396 x 396 piksel.

Kesemua paparan model jam tangan mempunyai fungsi Full Color Always On dan Gorilla Glass dengan perlindungan DX. Keempat-empat versi Samsung Galaxy Watch4 ini juga mempunyai penarafan IP68 untuk kerintangan cuaca. Ia mampu bertahan di dalam airdengan tekanan sehingga 5ATM, dan juga mempunyai persijilan MIL-STD-810G untuk kelasakan.

Model standard hadir dengan pilihan warna Hitam, Hijau dan Perak untuk saiz 44mm. Manakala untuk saiz 40mm pula ia ditawarkan dengan warna pilihan Hitam, Pink Gold dan Perak. Galaxy Watch4 Classic pula untuk kesemua versi saiznya ditawarkan dengan pilihan warna Hitam dan Perak.

Spesifikasi Samsung Galaxy Watch4

Seterusnya, untuk spesifikasi, kedua-dua varian standard dan Classic dilengkapkan dengan cipset 5nm Exynos W920 Dual Core 1.18GHz bersama-sama RAM 1.5GHz dan storan dalaman 16GB.

Turut dimuatkan ke dalamnya ialah keupayaan penjejakan kesihatan melalui Sensor 3-in-1 BioActive. Sensor ini menawarkan ciri Optical Heart Rate, Electrical Heart, dan Bioelectrical Impedance Analysis. Bagaimanapun, Samsung Malaysia menyatakan fungsi tertentu seperti Blood Pressure dan ECG monitoring tidak akan disediakan apabila dilancarkan ke pasaran tempatan kelak.

Selain dari fungsi khusus kesihatan, jam tangan pintar Samsung ini juga dilengkapkan dengan accelerometer, barometer, gyro sensor, geomagnetic sensor, dan Light Sensor.

Untuk bateri, bagi Galaxy Watch4 dan Watch4 Classic yang bersaiz besar mempunyai bateri berkapasiti 361mAh. Manakala untuk yang bersaiz kecil pula kedua-duanya mempunyai bateri 247mAh. Menurut Samsung, jam tangan pintar ini mampu digunakan untuk selama 40 jam. Ia juga boleh dicaskan sama ada melalui berwayar atau nirwayar.

Sebagaimana yang telah dinyatakan pada awal tadi, siri Galaxy Watch4 hadir dengan platform Wear OS baharu, melalui antaramuka Samsung One UI Watch. Perisian lain seperti kesihatan dan kecergasan, pemasangan aplikasi automatik, suara Bixby, penyegerakan aplikasi silang peranti dan banyak lagi.

Samsung Galaxy Watch4 akan hadir ke beberapa pasaran terpilih bermula 27 Ogos 2021. Model standard ditawarkan pada harga US$ 249.99 (~RM 1,060), manakala model Classic pula dari US$ 349.99 (~RM 1,484).

Tinggalkan komentar