Samsung Malaysia Electronics telah memperlihatkan aplikasi pihak ketiga yang dioptimasikan untuk peranti boleh lipat Galaxy Z Fold 4 dan Z Flip 4 ketika majlis rumah terbuka anjurannya Jumaat baru-baru ini.

Demonstrasi ini turut melibatkan rakan-rakan perniagaan tempatan Samsung seperti AmBank, FamilyMart, Maxis, Pay4U dan Zus Coffee.

Antara yang diketengahkan rekaan antaramuka dwi-tetingkap (dwi-pane) khusus untuk aplikasi AmBank, Maxis dan Zus Coffee yang memanfaatkan sepenuhnya skrin dalaman Z Fold 4. Ia juga kini lebih pantas dan lancar apabila beralih dari skrin luaran kepada skrin dalaman bersama-sama sokongan berbilang tugas secara natif.

Turut diperkenalkan kefungsian Flex Mode dibina ke dalam aplikasi FamilyMart dan Zus Coffee yang membolehkan pengguna menatal pada bahagian bawah skrin apabila dilipatkan secara separa. Kedua-duanya ciri ini boleh digunakan pada Z Fold 4 dan Z Flip 4.

Samsung Malaysia juga menjanjikan lebih banyak aplikasi dioptimasikan akan hadir tidak lama lagi seperti dari Gigi Coffee, Golden Screen Cinemas, TGV Cinemas dan Zapp.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Samsung turut menganjurkan pertandingan hackathon dengan penyertaan dari universiti-universiti tempatan. Penglibatan dari IPT-IPT tempatan ini membuka peluang kepada para pelajar mencungkilkan bakat masing-masing dalam menghasilkan idea untuk aplikasi khusus peranti boleh lipat.Reimagining Foldables for Malaysians on Galaxy Z Fold Galaxy Z Flip KV

“Di Samsung, kami tekun menghasilkan inovasi peranti mudah alih yang relevan dengan pengguna,” ujar Ketua Pemasaran Produk Mobile eXperience Samsung Malaysia Luke Au.

“Usaha kami ke arah mengarus perdanakan telefon pintar boleh lipat membawa kami ke arah kerjasama erat dengan jenama tempatan bagi mewujudkan pengalaman Galaxy Z yang lebih unik dan setempat pada aplikasi-aplikasi harian yang dekat dengan hati rakyat Malaysia. Kami menjemput lebih ramai organisasi tempatan untuk menjadi sebahagian dari kerjasama industri ini dan membawakan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan masing-masing,”

Tinggalkan komentar