Samsung Malaysia akan membuka tirai tahun 2022 dengan dijangkakan akan melancarkan telefon pintar Samsung Galaxy baharu pada minggu depan.
Berdasarkan desas-desus sejak beberapa minggu yang lalu, kebanyakan pihak tidak menolak kemungkinan Samsung Galaxy S21 FE (Fan Edition) akan dilancarkan.
Acara yang bakal diadakan di Kuala Lumpur ini akan berlangsung pada hari Rabu, 5 Januari 2022, pada sebelah petang. Berdasarkan imej jemputan yang dihantar, empat warna yang dipaparkan kelihatan sepadan dengan warna pilihan Galaxy S21 FE iaitu Olive, Graphite, White dan Lavender.
Berkemungkinan besar, pra-tempahan Samsung Galaxy S21 FE bagi pasaran Malaysia akan dibuka tidak lama selepas acara tersebut dilangsungkan.

Di Eropah, Samsung Galaxy S21 FE dengan storan 128GB berharga EUR 749 (~RM3,548). Manakala varian 256GB pula berharga EUR 819 (~RM3,879). Dijangkakan harga bagi pasaran Malaysia kelak mungkin lebih rendah berbanding di Eropah. Sebagai perbandingan, Samsung Galaxy S20 FE 5G 256GB yang dilancarkan pada September 2020 berharga RM3,399.
Samsung Galaxy S21 FE secara dasarnya merupakan pilihan bajet bagi telefon pintar mercu Samsung Galaxy S21. Ia dijangka bakal hadir dengan paparan AMOLED Full HD+ 6.4-inci 120Hz dan menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 888.

Untuk kameranya, telefon ini dikatakan akan menawarkan kamera utama 12MP, kamera ultra-lebar 12MP dan telefoto 8MP. Tidak ketinggalan sebuah kamera 32MP turut disediakan pada sebelah hadapannya.
Menguasakan telefon pintar ini adalah sebuah bateri berkapasiti 4,500mAh yang sama dengan Galaxy S20 FE dan turut menyokong pengecasan berwayar 25W dan pengecasan nirwayar 15W.
Samsung Galaxy S21 FE juga mungkin akan hadir dengan One UI 4 yang berasaskan Android 12. Seperti kelaziman pada telefon-telefon pintar mercu Samsung yang lain, telefon ini juga menyokong Samsung Pay dan juga penarafan kerintangan air dan debu IP68.













