Samsung Malaysia telah mengumumkan Flood Relief Program bagi membantu pengguna-pengguna yang terkesan dari bencana banjir baru-baru ini.
Menerusi program yang dibuka sehingga penghujung Januari 2022, anda boleh mendapatkan satu perkhidmatan pemeriksaan, pembersihan dan pembaikan produk-produk Samsung tanpa sebarang kos.
Sungguhpun perkhidmatan pemeriksaan, pembersihan dan pembaikan menerusi program ini adalah percuma, ia tidak merangkumi kos pembelian alat ganti. Pengguna masih lagi perlu membayar kos alat ganti yang diperlukan untuk memulihkan semula peralatan berkenaan.
Pengguna juga perlu membawakan produk-produk yang rosak berkenaan ke Pusat Khidmat Pelanggan Samsung untuk mendapatkan perkhidmatan percuma berkenaan.
Anda yang berhasrat untuk mendapatkan perkhidmatan di bawah Flood Relief Program Samsung ini boleh menghubungi talian khidmat pelanggaan Samsung Malaysia di talian, 1800-88-999. Selain itu, anda juga boleh berhubung menerusi ejen Live Chat menerusi laman web rasmi Samsung Malaysia.













