Selepas memperkenalkan siri Galaxy S22 baru-baru ini, Samsung Malaysia bakal melancarkan siri Galaxy A baharu pula tidak lama lagi. Barisan telefon pintar peringkat menengah baharu dari Samsung ini akan dilancarkan pada Khamis ini.

Acara Samsung Galaxy A ini akan berlangsung pada hari Khamis ini, 17 Mac 2022, jam 10 malam waktu Malaysia. Anda boleh menonton siaran langsung tersebut menerusi laman Facebook rasmi Samsung Malaysia.

Berdasarkan jemputan rasmi yang dihantar, Galaxy A merupakan siri telefon pintar keluaran Samsung yang paling popular. Ia membawa pendemokrasian inovasi Galaxy untuk mencipta, berhubung dan memakmurkan diri ke seluruh lapisan masyarakat.

Bagi tahun 2022 ini, Samsung menjanjikan inovasi siri Galaxy A yang lebih baik menerusi rekaan yang sering diidamkan oleh pengguna. Saban tahun, Samsung telah menambah pelbagai ciri-ciri yang sebelum ini hanya terdapat pada peranti mercu ke dalam siri Galaxy A.

Antaranya kerintangan air dan juga kadar penyegaran semula pada panel AMOLED yang dilengkapkannya. Malah, terdapat sesetengah model yang menawarkan fungsi Samsung Pay bagi membolehkan pengguna melakukan pembayaran kad secara nirsentuh melalui NFC.

Dijangkakan, Samsung Malaysia akan membuka pra-tempahan bagi siri telefon pintar Galaxy A ini sejurus selepas pelancarannya. Ikuti siaran langsung acara Samsung Galaxy A menerusi pautan berikut: https://www.facebook.com/events/1439491336492072/

Tinggalkan komentar