Samsung sebelum ini pernah menyatakan komitmennya untuk menyediakan kemaskini keselamatan selama empat tahun bagi peranti Galaxy yang dilancarkan dari tahun 2019.
Kini, komitmen tersebut ditingkatkan lagi kepada lima tahun untuk peranti-peranti Galaxy mercu terkini yang merangkumi Samsung Galaxy S22, Galaxy S21 dan Tan S8.
Selain dari itu, peranti-peranti yang terlibat juga akan layak menerima sehingga empat naik taraf utama sistem operasi Android. Perkara ini telah didedahkan menerusi kenyataan media yang tertiris dan dikongsikan oleh pentiris tegar, Evan Blass.
Di dalam nota kaki kenyataan media tersebut, dinyatakan:
“Devices eligible for four generations of Android OS upgrades and 5 years of security updates currently include Galaxy S22 Series (S22/S22+/S22 Ultra), S21 series (S21/S21+/S21 Ultra/S21 FE), Z Fold 3, Z Flip 3, and Tab S8 series (Tab S8/Tab S8+/Tab S8 Ultra)”.
Berita ini pastinya disambut baik oleh pengguna-pengguna Samsung yang bakal menikmati perlindungan tambahan melalui perlanjutan sokongan perisian dan keselamatan. Memandangkan Galaxy S22 dijangka akan dilancarkan dengan Android 12, ini bermakna telefon Samsung model mercu ini mampu dinaik taraf sehingga Android 16 bersama-sama kemaskini keselamatan tambahan.
Sebagai perbandingan, Pixel 6 dari Google hanya menyokong kemaskini Android selama tiga tahun sahaja dengan lima tahun sokongan kemaskini keselamatan. Manakala Apple pula masih lagi menawarkan sokongan untuk iPhone 6s dan 6s Plus yang dilancarkan pada 2015 mendapatkan iOS 15 yang terkini.
Di kalangan pengeluar-pengeluar Android, Samsung dilihat amat konsisten dengan janji sokongan perisiannya. Baru-baru ini kemaskini Android 12 dengan One UI 4 untuk Samsung Galaxy S10 yang dilancarkan pada 2019 telah disediakan.
Samsung dijadualkan akan melancarkan Galaxy S22 pada jam 11 malam esok menerusi acara Galaxy Unpacked 2022. Samsung Malaysia dijangka akan membuka pra-tempahan bagi Galaxy S22 sejurus selepas pelancaran peringkat global telefon tersebut selesai. Ikuti Samsung Malaysia untuk perkembangan mutakhir acara Galaxy Unpacked 2022.













