Samsung, dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah untuk menghentikan pengeluaran pemacu keadaan pepejal (SSD) jenis SATA sepenuhnya.
Menurut saluran YouTube Moore’s Law Is Dead, pengumuman mengenai keputusan ini dijangka berlaku seawal tahun baharu. Langkah ini dipercayai akan memberi impak yang lebih besar kepada pasaran berbanding penutupan jenama pengguna Crucial oleh Micron Technology baru-baru ini.
Laporan tersebut menyatakan penamatan pengeluaran ini mungkin tidak berlaku serta-merta. Sebaliknya ia dijangka dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Dakwaan ini turut disokong oleh sumber industri peruncitan yang telah menerima amaran daripada wakil sebuah syarikat SSD utama.
SSD SATA dijangka semakin sukar diketemukan
Bekalan pemacu SATA dikatakan akan menjadi semakin sukar diperoleh menjelang pertengahan tahun 2026. Samsung turut dilaporkan berhasrat untuk menamatkan pengeluaran SSD SATA sepenuhnya sebaik sahaja kontrak sedia ada dipenuhi. Ia dilakukan tanpa meneruskan bekalan kepada pengeluar produk lain.
Hal ini erbeza dengan situasi Micron yang hanya menutup jenama pengguna Crucial sahaja. Namun masih membekalkan komponen kepada syarikat pihak ketiga seperti G.Skill dan Adata.
Keputusan Samsung ini bermakna pengurangan fizikal jumlah pemacu di pasaran. Pengurangan bekalan ini dijangka akan menyebabkan kenaikan harga, yang seterusnya berpotensi mencetuskan pembelian panik dalam kalangan pengguna sebelum harga melambung lebih tinggi.
Situasi ini juga dikaitkan dengan fokus industri yang kini beralih kepada sektor kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan sumber yang besar.
Walau bagaimanapun, terdapat pandangan optimistik bahawa pasaran pengguna mungkin kembali menjadi fokus utama pada masa hadapan.
Moore’s Law Is Dead meramalkan bahawa apabila aplikasi AI mula dijalankan secara terus pada peranti (on-device), permintaan terhadap RAM dan SSD berteknologi tinggi untuk kegunaan peranti akan meningkat. Perubahan trend ini dijangka berlaku sekitar tahun 2027 atau lebih lewat, selari dengan keperluan teknologi yang semakin berkembang.
Sekiranya dakwaan ini benar, pengguna mungkin perlu bersedia menghadapi kekurangan bekalan dan peningkatan harga bagi storan jenis SATA dalam masa terdekat. Perkembangan ini menandakan peralihan ketara dalam industri storan data global yang kini semakin memberi keutamaan kepada teknologi NVMe dan infrastruktur berkaitan AI.













