Samsung sedang mempersiapkan untuk melancarkan telefon pintar boleh lipat tiga pertamanya yang dikatakan akan dinamakan sebagai Samsung Galaxy Z Trifold. Oleh kerana ia amat dinanti-nantikan, pelbagai khabar angin mengenainya diperkatakan.
Seorang pengguna di X bernama @TechHighest berkongsikan beberapa animasi yang menggambarkan telefon pintar tersebut. Sumber animasi berkenaan tidak dinyatakan, namun terdapat kemungkinan ia diketemukan di dalam perisian One UI. Selain dari menunjukkan reka bentuknya, video berkenaan juga menunjukkan interaksi nirwayar seperti fungsi pengecasan dan pembayaran NFC.
Berdasarkan dari salah satu animasinya, Galaxy Z Trifold dikatakan akan hadir dengan sokongan pengecasan nirwayar. Lingkaran pengecasannya dilihat ditempatkan pada bahagian paling kanan sebelah skrin yang menghadap pengguna.
Satu lagi video menunjukkan fungsi pengecasan berbalik nirwayar yang membolehkan telefon pintar boleh lipat tiga ini mengecas peranti lain. Boleh dikatakan ciri-ciri yang diperkenalkan ini sama seperti ciri-ciri yang disediakan pada telefon pintar mercu keluaran Samsung.
Klip-klip video berkenaan juga menunjukkan bagaimana pengguna boleh menggunakan pembayaran melalui NFC dengan Galaxy Z Trifold. Ia menunjukkan Galaxy Z Trifold dalam keadaan dibuka lipatannya.
Seperti biasa, maklumat yang tertiris ini masih belum dapat dipastikan kesahihannya selagi tiada pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh Samsung.