Samsung masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai telefon pintar tri-lipat yang akan datang. Namun maklumat tertiris baharu menunjukkan ciri-ciri menarik untuk Galaxy Z Trifold yang dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi.

Animasi yang telah tertiris menunjukkan bahawa Galaxy Z Trifold akan dilengkapi dengan keupayaan zum sehingga 100x. Satu peningkatan besar berbanding Galaxy Z Fold7 yang terkini yang hanya mempunyai zum telefoto 3x. Ciri ini akan menjadikan telefon lipat Samsung lebih setanding dengan telefon pintar mercu biasa yang sudah dilengkapi lensa telefoto berperiskop dengan zum 100x.

Teknologi zum 100x ini menggunakan gabungan zum optik dan digital yang diperkuatkan AI, serupa dengan yang terdapat pada siri Galaxy S25 Ultra yang menawarkan “Space Zoom” untuk tangkapan jarak jauh yang lebih jelas. Walaubagaimanapun, maklumat terperinci mengenai spesifikasi kamera masih belum disahkan, walaupun spekulasi awal mencadangkan ia akan menggunakan kamera utama 200MP.

Maklumat tertiris juga menunjukkan beberapa ciri multitasking menarik termasuk keupayaan cermin skrin penutup yang telah dilihat dalam kebocoran sebelumnya. Animasi lain mempamerkan bagaimana panggilan dapat muncul dalam tetingkap terapung yang boleh dipindahkan. Ia membolehkan pengguna melakukan tugas berbilang semasa membuat atau menjawab panggilan.

Peranti ini dijangka menyokong ciri DeX yang memberikan pengalaman desktop. Saiz skrin utama dijangka sekitar 10.8 inci apabila dibuka sepenuhnya dengan resolusi 2232 x 3184 piksel.

Spesifikasi dan Tarikh jangka pelancaran

Galaxy Z Trifold dijangka akan dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Elite yang terbaru dan menjalankan sistem operasi Android 15 dengan antara muka One UI 8.0. Peranti ini dijangka akan tersedia dalam pilihan storan 256GB, 512GB dan 1TB dengan RAM sehingga 16GB dan dijangka akan dilancarkan sama ada pada bulan Oktober atau November 2025.

Bagaimanapun, Galaxy Z Trifold dijangka hanya akan tersedia di pasaran terpilih sahaja, dan Malaysia tidak termasuk dalam senarai kawasan pelancaran awal. Peranti ini dijangka akan dihadkan kepada pasaran Korea Selatan dan China pada awal pelancarannya.

Seperti biasa, maklumat ini masih perlu diambil dengan berhati-hati kerana ia berasal daripada sumber tidak rasmi. Samsung juga masih belum mengesahkan spesifikasi atau tarikh pelancaran yang spesifik.

Tinggalkan komentar