Telefon pintar boleh lipat Samsung Galaxy Z Fold3 kini secara rasminya dilancarkan menerusi acara Galaxy Unpacked yang berlangsung sebentar tadi. Telefon pintar Samsung baharu ini merupakan yang terbaru di dalam siri Z Fold dan generasi ketiga untuk peranti boleh lipat.

Dari segi spesifikasinya, paparan utama Z Fold3 menawarkan paparan 7.6-inci QXGA+ Dynamic AMOLED 2X Infinity Flex Display yang dilipat ke dalam. Ia mempunyai ketumpatan piksel sebanyak 374 PPI dan kadar penyegaran semula adaptif 120Hz.

Paparan Luarannya (Cover Display) pula menawarkan paparan HD+ Dynamic AMOLED 2X 6.2-inci yang mempunyai ketumpatan piksel 387 PPI dan kadar penyegaran semula adaptif 120Hz.

Apa yang menarik dengan Paparan Utama (Main Display) Galaxy Z Fold3 ini ialah ia yang pertama di dalam siri ini yang menggunakan kamera bawah paparan. Kamera berkenaan menawarkan sensor 4MP f/1.8. Manakala bagi kamera bawah Paparan Luaran pula menempatkan sebuah sensor 10MP.

Dari segi spesifikasi pula, Z Fold3 menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 888, RAM 12GB dan bateri berkapasiti 4,400mAh. Untuk storannya pula, Samsung menawarkan dua pilihan melalui storan UFS 3.1 256GB dan 512GB.

Sama seperti model sebelum ini, Z Fold3 ini juga menyokong ketersambungan rangakaian 5G, namun terhad pada jalur frekuensi Sub6 dan mmWave. Untuk ciri keselamatannya pula, telefon Samsung baharu ini menawarkan pengimbas cap jari di sebelah sisinya dan teknologi pengecaman wajah.

Kamera-kamera Galaxy Z Fold3

Selain dua buah kamera bawah paparan seperti yang dinyatakan tadi, Galaxy Z Fold3 turut menyediakan kamera utamanya. Kamera berkenaan mengandungi tiga buah sensor 12MP iaitu, satu ultra lebar f/2.2, satu untuk ultra-lebar dengan Dwi-Piksel f/1.8, dan satu Telefoto f/2.4 dengan PDAF dan sehingga zum digital 10x.

Untuk harganya, Samsung Galaxy Z Fold3 akan dijual pada harga dari US$ 1,799 (~RM 7,627) dan harga bagi pasaran tempatan masih lagi belum diketahui setakat ini.

Samsung dalam pada masa yang sama juga melancarkan dua S Pen baharu iaitu S Pen Fold Edition dan S Pen Pro. S Pen Fold Edition ini direka khusus untuk Z Fold3 yang menawarkan fungsi seperti Pro Tip dan Air Commands, lebih kurang sama seperti yang ditawarkan pada Galaxy Note sebelum ini.

Manakala S Pen Pro pula dilihat menawarkan ciri yang lebih premium seperti lampu petunjuk LED, Air Actions, Device Switching dan satu soket USB.

Tinggalkan komentar