Samsung secara rasminya telah melancarkan Galaxy Z Fold 7, model baharu dari barisan siri telefon pintar boleh lipat mercu keluarannya. Ia dikatakan sebagai peranti boleh lipat paling nipis yang pernah dikeluarkan oleh konglomerat dari Korea Selatan tersebut setakat ini.
Secara visual, Galaxy Z Fold 7 masih lagi mengekalkan ciri rekabentuk seperti model sebelumnya sambil memperkenalkan pelbagai penambahbaikan merangkumi perkakasan, perisian dan juga AI.
Model ini menampilkan bentuk yang lebih nipis berukuran 8.9mm sahaja apabila dilipat dan 4.2mm apabila dibuka lipatannya. Beratnya pula hanya 215g, menjadikan ia Galaxy Z Fold paling ringan setakat ini. Bahagian yang menempatkan kamera belakangnya kelihatan lebih menonjol, namun bentuk dan tata susunannya masih lagi kekal sama.
Galaxy Z Fold 7 juga menampilkan paparan yang sedikit lebih besar dari model terdahulu dengan menampilkan paparan luaran 6.5-inci Dynamic AMOLED 2X dan paparan dalaman 8-inci Dynamic AMOLED 2X. Kedua-duanya menawarkan kecerahan puncak 2,600 nits.
Lebih Nipis, Lebih Kental
Menurut Samsung, paparan utamanya dibina lebih kukuh hasil penggunaan lapisan plat titanium dan Ultra-Thin Glass 50% lebih tebal. Armor FlexHinge baharu dengan rekaan titisan air menambah ketahanannya disamping mengurangkan kesan kedutan pada bahagian skrin utama.
Skrin luarannya kini menggunakan Corning Gorilla Glass Ceramic 2, dengan bingkai dan engsel diperbuat daripada Armor Aluminium yang lebih kental. Dalam pada masa yang sama, kerintangan debu dan air pula masih lagi kekal tinggi dengan penarafan IP48.
Di dalam telefon pintar ini terdapat pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite for Galaxy yang membawakan peningkatan prestasi yang ketara. Galaxy Z Fold 7 juga ditawarkan dengan pilihan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB.
Terdapat dua sel bateri disediakan untuk telefon pintar boleh lipat ini yang apabila digabungkan mempunyai kapasiti 4,500mAh. Selain menyokong pengecasan 25W melalui USB-C dan pengecasan nirwayar, ia juga menyokong ketersambungan Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4 dan NFC. Turut disediakan, pembesar suara stereo dan pengimbas cap jari pada butang kuasa di sebelah sisinya. Tapi sayang seribu kali sayang, tiada sokongan untuk penggunaan S Pen disediakan.
Ciri fotografi Galaxy Z Fold 7 kini menampilkan kamera utama 200MP, yang pertama ditawarkan untuk siri ini dan dikatakan mampu memberikan imej yang 44% lebih terang. Ia juga disokong oleh sebuah kamera ultra-lebar 10MP dan sebuah kamera telefoto 10MP. Pada bahagian paparan luarannya disediakan kamera 10MP, manakala bahagian paparan dalamannya juga disediakan sebuah kamera 10MP yang ditempatkan pada bahagian berpenebuk lubang.
Telefon pintar boleh lipat baharu ini didatangkan dengan One UI 8 berasaskan Android 16 yang menggabungkan ciri-ciri Samsung Galaxy AI terkini. Ia merangkumi ciri-ciri yang ditambahbaik seperti Photo Assist dan Generative Edit, pra-tonton suntingan secara bersebelahan dan Audio Eraser yang dipertingkatkan. Gemini Live kini menyokong input multimodal, membolehkan pengguna berinteraksi menggunakan sentuhan dan pertuturan secara serentak. Ciri privasi juga diperkemaskan dengan ciri seperti Knox Enhanced Encrypted Protection dan enkripsi rintang kuantum untuk Secure Wi-Fi.
Galaxy Z Fold 7 kini boleh dipra-tempah di Malaysia sehingga 31 Julai 2025 dan mula dijual pada 1 Ogos 2025. Ia ditawarkan di dalam empat warna pilihan iaitu Blue Shadow, Silver Shadow, Jetblack dan Mint (eksklusif dalam talian). Terdapat tiga konfigurasi memori dan storan Galaxy Z Fold 7 di pasaran:
- Galaxy Z Fold 7, 12GB RAM + 256GB berharga RM7,799
- Galaxy Z Fold 7, 12GB RAM + 512GB berharga RM8,399
- Galaxy Z Fold 7, 16GB + 1TB berharga RM9,899
Jika dibandingkan dengan Galaxy Z Fold 6 sebelum ini, model baharu ini dilihat lebih mahal dengan harga jualan permulaannya RM500 lebih tinggi ketika dilancarkan.