Bersama-sama Galaxy Z Flip 4, Samsung turut memperkenalkan sebuah lagi telefon pintar boleh lipat ke dalam pasaran Malaysia, Samsung Galaxy Z Fold 4 menerusi acara Unpacked yang berlangsung pada malam ini. Sama juga dengan Z Flip 4, Z Fold 4 tampil dengan beberapa penambahbaikan pada ciri rekaan luarannya dan juga perkakasannya.
Pun begitu, telefon pintar dari siri ini masih lagi menawarkan ciri premium dan menumpukannya pada pelbagai aspek di dalam Galaxy Z Fold 4.
Misalnya, telefon pintar boleh lipat Samsung ini menggunakan cipset baharu Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 yang membawakan peningkatan prestasi berbanding keluaran sebelumnya.
Samsung juga memaklumkan Galaxy Z Fold 4 merupakan peranti pertama yang dipra-pasangkan dengan Android 12L. Untuk makluman anda, Android 12L merupakan varian khusus sistem operasi mudah alih ini yang direka untuk peranti berskrin besar.
Penambahbaikan pada ciri berbilang tugas
Peranti Z Fold juga kebiasaannya menampilkan ciri cemerlang di dalam kepelbagaian tugas sesuai dengan saiz skrin di dalamnya yang besar. Untuk model kali ini, Samsung telah menambah satu fungsi baharu yang dikenali sebagai Taskbar. Menerusinya, pengguna boleh mengakses dengan segera pada aplikasi kegemaran atau yang baharu dibuka pada skrin utama, mirip dengan Taskbar pada Windows.
Turut diperkenalkan beberapa gerakan mengibas baharu untuk kegunaan berbilang tugasan dengan Google turut menambahkan sokongan seret-dan-letak (drag-and-drop) untuk aplikasi seperti Chrome dan Gmail. Tidak ketinggalan, Microsoft juga mengoptimasikan aplikasi Office dan Outlook khusus untuk Samsung Galaxy Z Fold 4.
Salah satu penambahbaikan besar yang dibawakan Samsung pada Galaxy Z Fold 4 ini adalah pada kameranya. Untuk kali ini, ia menampilkan kamera utama Dual Pixel 50MP f/1.8 yang diapit dengan kamera ultra-lebar 12MP f/2.2 dan kamera telefoto 10MP f/2.4 yang mempunyai keupayaan Space Zoom 30x dengan zum optikal 3x.
Untuk kamera bawah paparan pada sebelah skrin utamanya dan juga kamera pada Cover Screen, kameranya masih lagi kekal dengan masing-masing 4MP dan 10MP. Kamera bawah paparan Galaxy Z Fold 4 dikatakan lebih terlindung pada bawah skrin berbanding keluaran pada tahun lepas.
Skrin untuk telefon boleh lipat Samsung baharu ini masih lagi kekal menawarkan paparan Dynamic AMOLED 2X QXGA+ 120Hz 7.6-inci pada skrin utamanya dengan Super AMOLED 120Hz HD+ 6.2-inci untuk Cover Screen.
S Pen untuk Galaxy Z Fold 4
Sokongan untuk S Pen juga turut ditawarkan pada Galaxy Z Fold 4. Namun pena stylus berkenaan tidak ditawarkan bersama-sama pembeliannya dan anda perlu membelinya secara berasingan. Samsung turut menawarkan Standing Cover bermagnet dengan bekas Pen khusus untuk telefon pintar ini.
Sama seperti Samsung Galaxy Z Flip 4, Z Fold 4 menggunakan Armor Aluminium untuk bahagian kerangka dan juga engselnya. Corning Gorilla Glass Victus+ yang digunakan pada siri Galaxy S22 juga digunakan pada bahagian belakang dan Cover Screen Galaxy Z Fold 4.
Bateri yang digunakan oleh Z Fold 4 masih lagi kekal dengan kapasiti 4,400mAh dan menerusi ciri Super Fast Charging, ia mampu dicaskan sehingga 50% dalam tempoh 30 minit. Palam pengecas bagaimanapun tidak disertakan bersama-sama pembeliannya.
Spesifikasi Samsung Galaxy Z Fold 4
| Paparan | Cover screen: Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, Corning Gorilla Glass Victus+ 6.2 inci, 904 x 2316 piksel, nisbah 23.1:9 Skrin dalaman: Foldable Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+, 1200 nits (maksimum) |
| Cipset | Qualcomm Snapdragon 8 Gen+ 1 |
| Memori/Storan | RAM 12GB – Storan 256GB, 512GB atau 1TB |
| Bateri | Li-Po 4,400mAh Sokongan pengecasan pantas sehingga 25Wh Pengecasan pantas nirwayar 15W Pengecasan berbalik nirwayar 4.5W |
| Kamera | Kamera utama: 50 MP, f/1.8, 24mm (lebar), 1.0µm, Dual Pixel PDAF, OIS 10 MP, f/2.4, 67mm (telefoto), 1.0µm, PDAF, OIS, 3x zum optikal 12 MP, f/2.2, 123˚, 12mm (ultralebar), 1.12µm Kamera hadapan: 4 MP, f/1.8, 26mm (lebar), 2.0µm, bawah paparan Kamera bahagian Cover screen: 10 MP, f/2.2, 24mm (lebar), 1/3″, 1.22µm |
| Ketersambungan | Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac/6e, dual-band, Wi-Fi Direct, hotspot 5.2, A2DP, LE, aptX HD Type C USB 3.2, USB On-The-Go A-GPS/GLONASS/GALILEO/BDS |
| Ukuran | Buka: 155.1 x 130.1 x 6.3 mm Lipat: 155.1 x 67.1 x 14.2-15.8 mm |
| Berat | 263g |
| Warna | Graygreen, Phantom Black, Beige, Burgundy |
Harga Samsung Galaxy Z Fold 4 di Malaysia
Anda kini boleh membuat pra-tempahan Samsung Galaxy Z Fold 4 dan akan menerima e-baucar Samsung Malaysia Online Store bernilai RM650. Baucar berkenaan boleh digunakan untuk membeli produk Samsung tambahan. Selain itu, anda juga boleh menerima Waranti Lanjutan Samsung Care+ selama 1 tahun.
Harga Samsung Galaxy Z Fold 4 di pasaran Malaysia ditawarkan mengikut kapasiti storan yang ditawarkannya. Untuk Galaxy Z Fold4 berkapasiti 256GB, harganya adalah RM6,799. Manakala Galaxy Z Fold4 dengan storan 512GB pula harganya adalah RM7,299 dan spesifikasi storan tertinggi yang ditawarkan 1TB pula harganya mencecah RM8,299. Kesemua pilihan konfigurasi storan ini menawarkan satu sahaja pilihan RAM iaitu 12GB sahaja.
| Produk | Model | Harga | Warna pilihan | Percuma |
| Galaxy Z Fold4 | Galaxy Z Fold4 (256GB) | RM6,799 | · Graygreen
· Beige · Phantom Black · Burgundy |
· Samsung Care+ One-year extended warranty (worth RM599) and 3 Protective Film Replacements
· 1 free Samsung Online e-voucher worth RM650 · 1 free Standing Cover with Pen (worth RM369) |
| Galaxy Z Fold4 (512GB) | RM7,299 | |||
| Galaxy Z Fold4 (1TB) | RM8,299 |
Pra-tempahan boleh dibuat menerusi Samsung Experience Stores, Samsung Authorized Partners dan Samsung Malaysia Online Store untuk mendapatkan Samsung Galaxy Z Fold 4.













