Selain melancarkan Galaxy Z Fold3 pada malam ini, Samsung turut melancarkan sebuah lagi telefon pintar boleh lipat iaitu Samsung Galaxy Z Flip3 di dalam acara Galaxy Unpacked. Sungguhpun ia merupakan telefon pintar Z Flip ketiga yang diperkenalkan, Z Flip3 ini adalah model generasi kedua di dalam siri ini.
Ini kerana Z Flip asal dan Z Flip 5G secara asasnya merupakan peranti yang sama. Apa yang membezakan kedua-duanya adalah pada cipset yang lebih berkuasa dan keupayaan sambungan rangkaian 5G pada Z Flip 5G.
Kebanyakan perubahan ketara yang dilakukan terhadap Z Flip3 melibatkan pada ciri reka bentuknya. Misalnya, kawasan yang mengelilingi kamera belakangnya dan Skrin Luarannya (Cover Screen) dilitupi dengan kemasan hitam berkilat, manakala kawasan selebihnya diberikan kemasa matte.
Beratnya masih lagi sama dengan Z Flip asal iaitu 183g, namun lebih tipis jika berbandingkan dengan model sebelumnya.
Selain dari ciri reka bentuk luarannya, Samsung memberikan lebih tumpuan terhadap kelasakannya. Sama seperti Z Fold3, Z Flip3 juga menerima penarafan IPX8 yang menjadikannya mampu bertahan apabila direndam di dalam air berkedalaman 1.5 m selama 30 minit. Bagaimanapun menurut Samsung, ujian ini hanya dilakukan pada air tawar sahaja.
Z Flip 3 juga diperkasakan oleh Armor Aluminium yang mana menurut Samsung, aluminium terkuat yang pernah digunakan pada mana-mana telefon Samsung sehingga kini. Pemilihan kaca Corning Gorilla Glass Victus juga turut membantu meningkatkan kelasakannya. Pun begitu, berdasarkan penarafan IPX8, telefon ini tidak menawarkan kerintangan debu.
Cover Screen Galaxy Z Flip3 kini lebih besar
Satu lagi perbezaan ketara antara Z Flip3 dengan Z Flip sebelumnya ialah Skrin Luaran Super AMOLED yang lebih besar dari 1.1-inci kepada 1.9-inci. Pengguna kini mempunyai lebih ruangan untuk melihat notifikasi, serta mengakses ke sesetengah tetapan dan menggunakan Samsung Pay menerusi skrin.
Samsung juga menyertakan lapan widget ke dalam skrin luaran berkenaan seperti muzik, cuaca, jadual, penggera, rakaman suara, pemasa, statistik Samsung Health, dan pengawal Galaxy Buds.
Bagi skrin utamanya pula, Z Flip3 masih lagi mengekalkan paparan Dynamic AMOLED 2X Full HD+ 6.7-inci. Tetapi ia mempunyai kadar penyegaran semula 120Hz berbanding 60Hz pada model sebelumnya.
Kamera Galaxy Z Flip3 menawarkan tetapan yang sama seperti Z Flip iaitu sensor utama 12MP f/1.8 dan sensor ultra lebar 12MP f/2.2 untuk kamera belakangnya. Serta sensor 10MP f/2.4 untuk kamera pada paparan utamanya.
Telefon Samsung baharu ini juga menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 888 yang turut dibantu oleh RAM 8GB, serta bateri berkapasiti 3,300mAh. Ia juga menyediakan pengimbas cap jari di sebelah sisinya, sama seperti model sebelum ini.
Tidak dapat diketahui berapakah harga Samsung Galaxy Z Flip3 apabila tiba di pasaran Malaysia kelak. Namun, diberitakan harganya ketika dilancarkan di peringkat global adalah dari USD999.99 (~RM4,240). Galaxy Z Flip3 dijangka akan mula dijual di pasaran pada 27 Ogos ini.













